Malaysia Berita

FAM mahu Piala Presiden dan Piala Belia kembali pada musim 2022

Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed mengesahkan bahawa pihaknya telah menghantar permohonan kepada MKN untuk mendapat kebenaran menganjurkan Piala Presiden dan Piala Belia bagi musim 2022.

Ini selepas dua tahun berturut-turut saingan Piala Presiden dan Piala Belia dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM berkata pihaknya bersetuju untuk mengadakan kejohanan tersebut pada pertengahan atau akhir Februari 2022.

“Kita sudah menghantar permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara,” katanya kepada Bernama.

“Jadi kita harap kejohanan ini berjalan dengan lancar mengikut format asal dan tidak berlaku sebarang masalah.

“Sudah dua tahun tak main dalam liga kompetitif, ia membantutkan usaha FAM dalam mencari bakat baharu.

“Insya-Allah, kita yakin dan percaya tahun depan dapat diadakan.”

Mengikut format sebelum ini, kesemua pasukan bertanding (antara 20 hingga 22 pasukan) diundi dalam dua kumpulan dengan empat pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.

FAM telah menukar format untuk mengadakan pertandingan peringkat kumpulan mengikut zon bermula edisi 2020 bagi mengurangkan kos perjalanan, namun edisi 2020 dan 2021 bagi kedua-dua kejohanan itu terpaksa dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Menurut Mohd Firdaus, pihaknya juga bakal mewujudkan kembali Piala FAM kepada pemain bawah-25 tahun mengikut format kalah mati selepas berakhir kempen Piala Belia dan Piala Presiden tahun depan.

“Mana-mana pasukan yang tidak berpeluang untuk main Liga M3 atas kekangan kewangan dan sebagainya, kita beri peluang main dalam kejohanan ini, sebab kita lihat sebelum ini Liga FAM melahirkan banyak pemain yang mewakili Malaysia,” jelasnya.

Piala FAM yang pada awalnya diadakan secara kalah mati, ditukar ke format liga dengan dikenali sebagai Liga FAM bermula 2008 tetapi dijenamakan semula sebagai Liga M3 bermula 2019.