Malaysia Berita

Cabaran getir Brad Maloney selepas Piala Presiden, Piala Belia dibatalkan

Jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney berdepan cabaran getir apabila terpaksa mencari pendekatan baharu untuk menilai pemain selepas Piala Presiden dan Piala Belia musim ini dibatalkan serta-merta.

Pembatalan tersebut menjejaskan perancangan Maloney apabila beliau perlu menyenaraikan barisan pemain menjelang Pusingan Akhir Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober depan.

“Biarpun secara umumnya Maloney sudah mempunyai barisan pemain yang diperlukan, cuma dia tidak dapat pemain baharu jika masih mahu mencari nilai tambah skuadnya menerusi pemantauan pemain yang beraksi pada Piala Presiden dan Piala Belia,” kata pengurus UiTM FC, Mustaza Ahmad.

“Tanpa kedua-dua pertandingan itu, sukar untuk para pemain mendapatkan minit perlawanan kerana ia sepatutnya memberikan pendedahan lebih kepada mereka sebelum beraksi di Uzbekistan.

“Jadi Maloney perlu bekerja lebih keras lagi bagi membina semula kekuatan barisan pemain Harimau Muda sedia ada sekarang, tidak hanya aspek kecergasan tetapi juga fizikal.

Skuad B-19 negara layak bertanding AFC B-19 2020 selepas menewaskan Thailand 1-0 di Kemboja November lalu.

FAM dan MFL bersetuju untuk membuka pendaftaran pemain di Liga Super dan Liga Premier supaya pemain muda mendapat minit permainan, namun dengan jumlah pemain senior yang cukup ramai, pemain-pemain muda mungkin sukar untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.