Liga Super Malaysia Berita

FAM: Piala Presiden, Piala Belia, Liga Futsal ditunda ke Jun

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam mengesahkan saingan Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal ditunda dari Mac kepada Jun berikutan peningkatan kes Covid-19.

FAM memilih untuk memulakan bulan Jun untuk ketiga-tiga pertandingan itu setelah mengambil kira bulan puasa dan Hari Raya yang jatuh pada bulan April dan Mei.

Malah, format pertandingan diubah bagi memastikan semua perlawanan dapat diadakan dalam keadaan terkawal.

“Kami telah membuat jadual baharu pada bulan Jun,” katanya kepada NST.

“Menggunakan format secara wilayah yang akan mengurangkan keperluan setiap pasukan berjalan jauh dan menjadikan pergerakan lebih terkawal.”

Stuart berkata, jika berlaku kejadian tidak diingini seperti pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, pertandingan masih boleh diteruskan.

“Sebagai contoh, jika ada PKP di wilayah utara, maka wilayah pusat, selatan dan yang lain masih akan terus bermain tetapi tiba tarikh akhir, mereka yang berada di kedudukan paling atas dalam setiap kumpulan akan terus ke peringkat kalah mati.

“Sekiranya pasukan tidak dapat menyelesaikan semua perlawanan mereka, ini tidak akan mempengaruhi mereka yang berada di kedudukan teratas pada waktu itu dan mereka akan terus layak ke pusingan seterusnya.

“Format ini hanya untuk tahun ini dan merupakan format terbaik mengikut keadaan semasa.”

Sementara itu, Stuart berkata Liga Futsal akan dimainkan dalam format liga tetapi akan menganjurkan perlawanan secara berpusat setiap minggu, yang bermaksud pertandingan akan diadakan di satu tempat selama seminggu sebelum berpindah ke tempat lain.

“Format ini akan memberi kita fleksibiliti kerana wabak Covid-19 ini tidak boleh dijangka. Format ini akan memberi ruang lebih banyak untuk kita mengendalikan pertandingan tanpa perlu membatalkan hanya kerana satu atau dua pasukan tidak dapat bermain pada minggu itu.”