Liga M3 Berita

Liga M3 tidak akan dibatalkan lagi seperti tahun lepas

Saingan Liga M3 musim 2021 tidak akan dibatalkan tahun ini walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini.

Ini selepas saingan liga divisyen ketiga itu dibatalkan musim lepas.

Bagaimanapun, Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Yusoff Mahadi berkata Liga M3 kemungkinan besar tidak akan bermula pada bulan Mac tetapi Jun.

“Persaingan tahun ini masih akan berlangsung,” katanya kepada NST.

“Walaupun ia bermula pada bulan Jun, kami masih dapat lengkapkan musim ini kerana pasukan Liga M3 tidak terlibat dalam Piala Malaysia.”

Namun, Yusoff menyatakan kebimbangan terhadap bilangan penyertaan pasukan pada musim ini.

“Kami menyasarkan 24 pasukan tahun ini, tetapi nampaknya agak sukar kerana Covid-19. Namun, kami masih mengusahakannya.

“Kami hanya mahu pasukan yang mempunyai kewangan yang sihat bertanding dalam liga.

“Terdapat enam pasukan baru yang berminat untuk bermain, tetapi kita perlu memeriksa keadaan kewangan mereka.”

Setakat ini, hanya sembilan pasukan yang mendaftar untuk Liga M3 tahun ini.

Pasukan mempunyai masa sehingga 19 Februari untuk mendaftar musim baharu.