Liga Super Malaysia Berita

FAM beri sebab batal Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal musim 2020

Hasrat warga kerja bolasepak untuk melihat liga disambung semula semakin kabur apabila FAM membuat keputusan drastik membatalkan Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Kebangsaan bagi musim 2020.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memberikan penjelasan panjang lebar mengenai mengapa pihaknya mengambil keputusan tersebut dalam kenyataan rasminya, antaranya disebabkan kebimbangan terhadap pendekatan sukan bolasepak dan juga kos perbelanjaan.

“Keputusan ini dibuat selepas FAM melakukan kajian, penelitian dan siri perbincangan dalaman, selain memperhalusi garis panduan dan SOP serta nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama berkaitan penganjuran perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia di padang terbuka serta larangan aktiviti sukan di kawasan tertutup yang mana ia melibatkan perlawanan MPFL.

“Setelah mengambil kira hal-hal pengoperasian dan kebajikan semua pemegang taruh industri bola sepak dan futsal, FAM dengan berat hati membuat keputusan untuk membatalkan terus pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL bagi musim 2020 ini berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

“Dengan itu, tiada pasukan yang akan bergelar juara bagi ketiga-tiga pertandingan ini bagi musim 2020 dan pertandingan akan dimulakan semula untuk musim baharu 2021 pada awal tahun depan.”

Keputusan pembatalan ketiga-tiga pertandingan itu dibuat berdasarkan Artikel 3 Peraturan Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2020 serta Artikel 2 Peraturan Pertandingan MPFL 2020.

Stuart bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan FAM tidak akan mempengaruhi MFL yang akan membuat permohonan semula selepas berakhirnya tempoh PKPB untuk mendapatkan kelonggaran khas bagi penganjuran baki saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier 2020.

Berikut merupakan sebab-sebab FAM membatalkan semua pertandingan domestik di bawah kelolaannya:

Ketidakpastian PKPB

Tanpa kepastian sama ada tempoh PKPB akan berakhir pada 9 Jun 2020 atau terus dilanjutkan, FAM terpaksa membuat keputusan sekarang dan tidak boleh menunggu atau menangguhkan lagi keputusan ini kerana ia hanya akan menjejaskan kedudukan para pemegang taruh yang terlibat.

Sukan sentuhan dan sukan tertutup

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan, bola sepak telah dikategorikan sebagai sukan bersentuhan yang dilarang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia hanya boleh dijalankan sebagai aktiviti riadah dengan penjarakan sosial satu meter dan tidak melebihi 10 individu.

Namun, sebarang penganjuran perlawanan atau pertandingan masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini.

Sementara bagi futsal pula selain daripada boleh dikategorikan sebagai sukan bersentuhan, ia turut tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini kerana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup adalah termasuk dalam senarai aktiviti sukan yang dilarang oleh MKN.

Selepas meneliti garis panduan berkenaan, untuk FAM meneruskan penganjuran Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL bagi baki musim 2020 ini, keutamaan perlu diberikan terhadap aspek SOP bagi pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan iaitu dalam memastikan keselamatan dan kesihatan semua individu yang perlu hadir ke venue latihan dan perlawanan adalah terjamin.

Kos perbelanjaan tinggi untuk mewujudkan SOP baharu dalam setiap perlawanan

Terdapat sesetengah pasukan dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia menggunakan padang terbuka sebagai venue mereka selaku tuan rumah, sekali gus menyebabkan kesukaran untuk mengawal pematuhan SOP penganjuran perlawanan.

Begitu juga bagi pertandingan MPFL yang mana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) dilarang oleh MKN, sekali gus bakal menyebabkan beberapa halangan terpaksa dihadapi dalam mendapatkan kelulusan bagi SOP pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan.

Oleh kerana sesetengah venue dan fasiliti pertandingan tidak memenuhi kriteria SOP pengendalian perlawanan untuk dilangsungkan secara tertutup tanpa penonton, ia akan menyebabkan kos pengendalian setiap perlawanan akan bertambah bagi memastikan semua SOP keselamatan dan kesihatan yang diperlukan dapat dipatuhi.

Penganjuran perlawanan di venue padang terbuka juga akan menyebabkan kesukaran pihak tuan rumah untuk mengawal daripada berlakunya perhimpunan yang melibatkan orang ramai.

Perlawanan perlu diadakan di kawasan tertutup yang sudah tentu merupakan aktiviti sukan yang dilarang oleh MKN untuk dijalankan sebarang pertandingan terutamanya bagi tempoh beberapa bulan yang akan datang ini.

Venue perlawanan di kawasan tertutup juga memerlukan kos lebih tinggi untuk memastikan semua SOP keselamatan dan kesihatan yang diperlukan dapat dipatuhi, selain akan menyebabkan kesukaran kepada pasukan tuan rumah untuk menyewa venue yang bersesuaian dan memenuhi kriteria.

Justeru, dengan keutamaan FAM adalah untuk menjamin kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terlibat terutamanya pemain-pemain muda serta selepas mengambil kira tempoh masa penangguhan pertandingan, kos penganjuran perlawanan dan pengendalian SOP yang tinggi, FAM pada masa ini tiada pilihan selain membatalkan terus ketiga-tiga pertandingan ini, selain ia dapat membantu mencegah penularan pandemik COVID-19.

Kebajikan pemain akibat pembatalan musim 2020

Bagi memastikan pemain-pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2020 yang berpotensi dapat diserapkan ke pasukan utama kelab mereka, FAM dan Malaysian Football League (MFL) akan membuka pendaftaran khas untuk pemain-pemain ini mendapat peluang beraksi pada baki saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier 2020 tanpa sebarang had pendaftaran.

Selain itu, bagi menjamin kesinambungan kerjaya pemain-pemain yang berusia 21 tahun pada tahun 2020 ini daripada terjejas akibat pembatalan saingan musim ini, had umur pertandingan Piala Presiden 2021 akan dinaikan kepada usia 22 tahun, sekali gus membolehkan pemain-pemain yang lahir pada tahun 1999 ini masih lagi layak untuk beraksi pada saingan musim depan.

Dalam menjaga hal kebajikan pemain dan pegawai, selain telah membuka ruang untuk para pemain Piala Presiden dan Piala Belia didaftarkan ke pasukan Liga Super dan Liga Premier musim ini serta menaikkan had umur Piala Presiden 2021 kepada usia 22 tahun, FAM turut berharap agar semua pasukan yang terlibat dapat menghormati kontrak masing-masing.

Jika terpaksa melakukan pembatalan kontrak, FAM mengarahkan supaya pasukan mengikut Akta Kontrak 1950 dan mewajibkan pasukan untuk membayar minimum 25 peratus daripada jumlah baki kontrak yang ada sebagai pembayaran ex-gratia (pampasan/ganti rugi) kepada pemain dan pegawai.