Liga Super Malaysia Berita

MFL hantar rayuan kepada kerajaan, benarkan penyokong minum di stadium

CEO MFL, Stuart Ramalingam akan menghantar rayuan berhubung kebenaran untuk penonton minum air ketika menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021 dalam stadium.

Ini selepas beliau mendapat tahu keluhan penyokong supaya diberikan kebenaran untuk sekurang-kurangnya meneguk air.

“Pihak MFL melalui Presiden MFL (Datuk Ab. Ghani Hassan) sedang dalam proses merayu perkara ini dengan pihak berkuasa,” kata Stuart kepada Utusan.

“Dengan kebenaran sektor makanan beroperasi, kami mengharap sangat rayuan ini dapat dipertimbangkan untuk penyokong dan pasukan.

“Presiden akan bertemu dengan pihak terlibat minggu ini bagi membincangkan perkara tersebut.”

Beberapa penyokong bola sepak tempatan meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial baru-baru ini.

Meskipun dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan Piala Malaysia di stadium, SOP melarang penonton daripada makanan dan minuman, kemungkinan bagi mengelakkan penonton membuka pelitup muka.

Namun, penyokong biasanya akan bersorak dan bertempik sepanjang perlawanan, yang menyebabkan mereka kehausan, tetapi malangnya mereka terpaksa keluar dari stadium kalau hendak makan atau minum.