UEFA Champions League Berita

Barcelona kalah lagi, berisiko tersingkir dari UEFA Champions League

Prestasi tidak konsisten Barcelona berterusan apabila sekali mencatatkan kekalahan, kali ini tewas 3-0 kepada Benfica dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut untuk Ronald Koeman, berikutan kekalahan kepada Bayern Munich dengan jumlah jaringan yang sama dua minggu lalu.

Ini menambah tekanan kepada Koeman dan berpotensi untuk dipecat di tengah musim LaLiga.

“Ini keputusan yang sukar untuk diterima, dan bukan seperti yang kami harapkan,” kata Koeman selepas perlawanan.

“Memang kami bolos awal, tapi kami beraksi bagus hingga keputusan menjadi 2-0. Kami memiliki sejumlah peluang untuk menjaringkan gol dan tidak mengambil peluang itu. Itu adalah peluang untuk mengubah permainan.

“Jika mereka menjaringkan tiga gol daripada tiga peluang yang mereka peroleh dan kami tidak, maka itu adalah perbezaan besar antara kedua belah pihak.”

Koeman bagaimanapun menegaskan para pemainnya tetap menyokongnya ketika mereka berusaha untuk mengubah nasib pasukan mereka, tetapi dia tidak tahu apakah ahli lembaga pengarah mempunyai pandangan yang sama.

“Saya tidak akan berdebat mengenai tahap pasukan saya. Tidak ada gunanya membandingkannya dengan pasukan Barcelona bertahun-tahun yang lalu. Itu sangat jelas,” kata jurulatih Belanda itu.

“Saya hanya dapat memberikan pendapat mengenai tugas saya di kelab, saya merasa disokong oleh pemain saya.

“Selebihnya, kelab, saya tidak pasti…Saya tidak dapat mengatakan apa-apa lagi, kerana saya tidak tahu apa yang difikirkan oleh kelab. Bukan saya yang buat keputusan.”

Kapten Barca, Sergio Busquets enggan menyalahkan Koeman sebaliknya mengatakan bahawa sebahagian daripada punca kekalahan itu adalah kerana pemain.

“Pada akhirnya, perkara paling mudah adalah menyingkirkan jurulatih, tetapi kita semua bertanggungjawab. Sebenarnya kita berada dalam situasi kritikal,” kata Busquets.

“Kami hanya bermain dua perlawanan dalam peringkat kumpulan. Kami perlu fokus untuk tingkatkan prestasi.

“Kami perlu memenangi dua perlawanan berikutnya menentang Dynamo Kiev dan melihat bagaimana dua perlawanan berikutnya. Masih ada perjalanan yang panjang dan kami perlu berusaha dan bersikap positif.”

Bintang Uruguay, Darwin Nunez menjaringkan dua gol untuk Benfica, dengan gol pertamanya dijaringkan seawal tiga minit.

Lucas Verissimo kemudian membuat halangan saat-saat untuk menafikan Luuk de Jong daripada menjaringkan gol dari jarak dekat.

Pasukan Jorge Jesus terus meningkatkan tekanan setelah waktu rehat, dengan Rafa Silva menggandakan kedudukan Benfica pada minit ke-69 apabila dia menyudahkan bola muntah yang dihasilkan oleh Joao Mario.

Benfica meneruskan serangan apabila percubaan Nunez sekadar terkena tiang gol setelah berjaya melepasi Marc-Andre ter Stegen.

Nunez akhirnya menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi sepakan penalti pada minit ke-79 setelah bola terkena tangan Sergino Dest dalam kotak penalti.

Tidak cukup dengan itu, Barcelona menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Eric Garcia dilayangkan kad kuning kedua.

Barca berada di tangga tercorot dalam Kumpulan E tanpa sebarang mata dari dua perlawanan, enam di belakang pendahulu Bayern dan empat mata di belakang Benfica. Dynamo Kiev menduduki tempat ketiga dengan satu mata.