Liga Super Malaysia Berita

Perak bakal dapat penaja baharu, minat beli saham pasukan

Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh mengesahkan bahawa syarikat Kopa Arena telah menghantar surat permohonan secara rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk menaja pasukan itu bagi saingan Liga Premier musim 2022.

Syarikat ini terlibat dalam industri bola sepak dan mempunyai lima gelanggang sintetik di Universiti Sains Malaysia, di Pulau Pinang.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dalam masa terdekat dengan syarikat itu yang terkenal dalam pengurusan sukan bola sepak termasuk aspek latihan dan padang.

“Surat tawaran telah dihantar oleh syarikat tersebut minggu lepas,” katanya kepada Bernama.

“Antara yang mungkin dibincangkan adalah berkaitan pembelian sebahagian saham dalam Perak FC.

“Kata putus berkenaan perkara ini terserah kepada kebijaksanaan pihak pengurusan tertinggi PAFA untuk menilainya.”

Tambah Azman, Perak memerlukan lebih RM10 juta secara keseluruhan merangkumi aspek gaji, logistik dan pelbagai urusan lain untuk memastikan kelancaran bagi mengharungi liga berkenaan pada musim depan.

“Kos ini saya anggap realistik dan pada masa sama kita tidak mahu perkara-perkara di luar jangka seperti dalam Liga Super sebelum ini berulang kembali.”

The Bos Gaurus tersingkir ke Liga Premier selepas menduduki tangga kedua tercorot daripada 12 pasukan bertanding dalam Liga Super musim ini.