Liga Premier Malaysia Berita

Perak II tersingkir ke Liga M3, hanya 10 pasukan bertanding Liga Premier musim 2022

Malaysian Football League (MFL) mengumumkan hanya 10 pasukan yang bakal bertanding dalam divisyen kedua Liga Malaysia, Liga Premier bagi musim 2022.

CEO MFL, Stuart Ramalingam yang menyatakan bahawa keputusan itu dibuat berikutan Perak FC II tersingkir secara automatik ke saingan Liga M3.

Ini selepas Perak FC menamatkan kempen di posisi ke-11 Liga Super 2021 sekali gus tersingkir ke Liga Premier 2022, justeru pasukan berstatus Reserve Team secara automatik akan tersingkir daripada pertandingan sekiranya Parent Club mereka jatuh liga berdasarkan Manual Liga Malaysia Artikel 3.19.6 Peraturan Reserve Team.

Jelasnya lagi, Amateur Football League (AFL) juga telah membuat pengumuman pembatalan Liga M3 pada 14 September 2021 menyaksikan tiada pasukan akan naik ke Liga Premier 2022.

Justeru, MFL membuat keputusan untuk menganjurkan Liga Premier dengan jumlah 10 pasukan sahaja pada tahun hadapan.

“Perak FC secara rasmi tersingkir daripada kejohanan Liga Super pada musim depan akan bermain di Liga Premier 2022 di mana Parent Club dan Reserve Team tidak boleh bersaing dalam satu kejohanan yang sama selaras Peraturan 3.19.6 Perkara 1.1 dan 1.2.

“Format Liga Premier sebelum ini menampilkan 12 pasukan tetapi MFL juga mengambil maklum dengan pengumuman pembatalan Liga M3 yang dilakukan oleh AFL pada 14 September lalu di mana pembatalan kejohanan tersebut menyaksikan tiada pasukan yang boleh dipromosikan ke Liga Premier 2022 secara merit pertandingan.

“Sehubungan itu, MFL akhirnya telah mencapai satu keputusan iaitu pertandingan Liga Premier bagi musim 2022 akan menampilkan jumlah 10 pasukan sahaja dalam satu liga,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Dengan ketiadaan Perak FC II, Liga Premier musim 2022 akan menampilkan Kuching City FC, Johor Darul Ta’zim II, Terengganu FC II, Selangor FC 2, PDRM FC, Kelantan United FC, Kelantan FC, Skuad Projek FAM-MSN diikuti pendatang dari Liga Super, Perak FC dan UiTM FC.

Sementara itu, dua pasukan teratas Liga Premier, Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC akan bersaing dalam kempen Liga Super 2022.