Malaysia Berita

Piala Tun Sharifah Rodziah musim 2021 dibatalkan

FAM membuat keputusan untuk membatalkan pertandingan bola sepak wanita kebangsaan, Piala Tun Sharifah Rodziah bagi musim 2021.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM.

Katanya, ia selepas mengambil kira situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan penganjuran pertandingan tersebut.

“Sama seperti pembatalan Piala Presiden, Piala Belia dan CUCKOO Malaysia Premier Futsal League 2021 yang telah diumum sebelum ini, keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Memandangkan isu COVID-19 yang berlarutan telah memberi impak yang amat ketara kepada industri bola sepak termasuk pembangunan teknikal pemain.

“Walau bagaimanapun, sebagai sokongan kepada inisiatif pihak kerajaan dalam membendung penularan wabak ini, FAM memutuskan untuk tetap memberi sokongan dengan memberi kerjasama dan patuh kepada arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“FAM juga berasakan keputusan ini akan dapat memberi lebih ruang kepada pasukan-pasukan untuk membuat persediaan lebih terperinci pada masa akan datang.

“Setiap pasukan adalah bebas untuk mengekalkan pasukan masing-masing, malah FAM amat berbesar hati untuk memberikan khidmat nasihat serta sokongan kepada semua yang terlibat terhadap usaha pembangunan bola sepak wanita di peringkat negeri.”