Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe: Harap Harimau Malaya dapat bangkit semula

Tan Cheng Hoe mengakui pasukannya kehilangan fokus ketika bertahan pada 10 minit terakhir perlawanan apabila tewas 4-0 kepada UAE, semalam.

Katanya, ia menyebabkan skuad kebangsaan mudah dibolosi oleh Ali Mabkhout dan Fabio de Lima.

“Saya pasti pemain kecewa dengan kekalahan yang agak besar itu,” katanya selepas perlawanan.

“Saya percaya mereka telah berikan yang terbaik. Tapi nampaknya ia tidak mencukupi untuk dapatkan keputusan positif.

“Kita tahu pasukan UAE kali ini jauh lebih baik. Kami sepatutnya bermain dengan lebih konsisten, beri lebih tumpuan pada serangan dan pertahanan. Kami tidak boleh mengekang Ali, beliau bermain dengan baik.”

Bagaimanapun, Cheng Hoe berharap pasukannya tidak patah semangat dan bangkit dalam perlawanan seterusnya.

“Harapnya dalam perlawanan seterusnya, kita dapat bangkit semula.

“Kita tahu, kita tidak bermain sebagai satu pasukan ketika bertahan, kita tidak mengawal rapat pemain, beri terlalu banyak ruang kepada UAE.

“Namun saya percaya pemain-pemain saya masih optimis, masih positif untuk perlawanan seterusnya.

“Kami ada kira-kira seminggu untuk bersedia bagi menghadapi Vietnam. Saya sangat yakin yang kami telah beroleh pengajaran berharga semasa menentang UAE, mereka sudah tahu kelemahan dan kekuatan pasukan.

“Saya harap dapat keputusan positif menentang Vietnam. Park Hang-seo juga menyaksikan perlawanan kami dan menganalisa perlawanan.

“Vietnam juga sebuah pasukan yang kuat. Kita tahu kita tak dapat keputusan baik lawan Vietnam sebelum ini. Saya harap, selepas menjalani beberapa sesi latihan nanti, anak buah saya akan mempamerkan permainan yang saya mahukan agar kita dapat menghasilkan keputusan positif.”