Malaysia Berita

Barisan terbaik Malaysia disekolahkan oleh UAE, bolos tiga gol dalam 10 minit terakhir

Skuad kebangsaan Malaysia dikejutkan dengan kekalahan 4-0 kepada UAE, dengan tiga gol dibolosi dalam 10 minit terakhir perlawanan.

UAE mendahului menerusi jaringan Ali Mabkhout yang mudah melepasi Aidil Zafuan dan melambung bola melepasi Farizal Marlias pada minit ke-19.

Di sebalik kerapuhan benteng pertahanan negara, UAE gagal menjaringkan sebarang gol sehinggalah pada 10 minit terakhir.

Namun, apa yang membingungkan, Malaysia kurang mencipta peluang malah gagal menjaringkan walau satu gol.

Jika ikut statistik, Malaysia hanya merekodkan satu tendangan on target, manakala 7 lagi tendangan adalah tersasar.

Bukan itu sahaja, Malaysia hanya mempunyai 29 peratus kawalan bola dan sebanyak 296 hantaran berbanding 726 hantaran yang dicatatkan oleh UAE.

Ternyata, barisan pemain Malaysia kali ini dengan gabungan pemain naturalisasi dan pemain kacukan terbaru negara bergelut dengan tahap kecergasan dan gagal mencapai keserasian sepanjang 90 minit permainan.

Hanya Farizal yang dilihat bekerja keras apabila beberapa kali menyelamatkan percubaan berbahaya pihak lawan.

Prestasi lemah Guilherme De Paula memaksa Tan Cheng Hoe membuat dua pertukaran dengan membawa masuk dua penyerang tempatan iaitu Syafiq Ahmad dan Luqman Hakim Shamsudin.

Meskipun cemerlang, Farizal akhirnya tewas kali kedua pada minit ke-83 menerusi gol pemain naturalisasi UAE, Fabio De Lima dengan tendangan yang melencong terus menembusi gawang gol.

Ali menambah gol ketiga UAE di masa kecederaan, disusuli dengan gol keempat yang dijaringkan oleh De Lima, kedua-duanya menerusi serangan balas apabila barisan pertahanan Malaysia naik terlalu tinggi ke atas sehingga mudah ditembusi oleh serangan yang pantas.

Malaysia jatuh ke tangga keempat Kumpulan G, meskipun turut mengumpul 9 mata bersama UAE dan Thailand, namun hanya dipisahkan perbezaan gol.

UAE pula meraih kemenangan ketiga sekali gus melonjak naik ke tangga kedua Kumpulan G, dengan mengumpul sembilan mata.

Malaysia bernasib baik apabila Thailand diikat seri 2-2 oleh Indonesia, semalam.

Selepas ini skuad negara akan bertemu Vietnam pada 11 Jun, sebelum berdepan Thailand pada 15 Jun ini.