Malaysia Berita

Malaysia bukan lagi pasukan belasahan UAE

Malaysia akan berdepan dengan UAE di Dubai malam ini buat pertama kali selepas dibelasah 10-0 pada 2015, yang menyebabkan Dollah Salleh meletakkan jawatan sebagai jurulatih negara.

Kali ini kedua-dua pasukan bertemu untuk perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Namun, sejak kekalahan memalukan itu, barisan pemain Malaysia sudah banyak berubah.

Skuad kebangsaan diperkuatkan dengan kehadiran pemain kacukan seperti Matthew Davies, Brendan Gan, La’vere Corbin Ong dan terbaru Dion Cools.

Malaysia juga dibantu dengan kehadiran pemain naturalisasi seperti Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula.

Tidak lupa juga barisan pemain tempatan terbaik yang merupakan produk Liga Malaysia iaitu Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Aidil Zafuan dan ramai lagi.

Adunan pemain tempatan, kacukan dan naturalisasi membentuk satu pasukan baharu, satu pasukan yang tidak akan tewas 10-0 lagi selepas ini.

“Itu adalah salah satu sejarah yang telah berlalu,” katanya kepada Bernama.

“Sudah tentu kali ini dengan pemain dan situasi berbeza, saya rasa kita mampu menyekat serangan mereka (UAE), dan pada sama yang penting kita kena turun beraksi dengan keyakinan dan beri fokus setiap saat.

“Dalam aksi persahabatan lalu, UAE nampak lebih bersedia dan kita tidak boleh rasa terlalu gemuruh bila berdepan mereka, walaupun mendapat sokongan penyokong dan kelebihan bermain di laman sendiri.”

Katanya lagi, serangan UAE dapat dipatahkan jika barisan pertahanan berjaya merantai pergerakan penyerang prolifik Ali Mabkhout, yang menjaringkan lima gol dalam dua aksi persahabatan terakhir pasukan menentang India dan Jordan baru-baru ini.

“Kalau kita lihat kebanyakkan jaringan Ali datang daripada kombinasi dia, terutama dengan pemain naturalisasi terbaharu Fabio Virginio de Lima dan Khalfan Mubarak, yang banyak bagi hantaran kepadanya.

“Jadi kita harap dapat menyekat hantaran tersebut daripada sampai ke kaki Ali.”

Sementara itu, Cheng Hoe berharap Dion Cools dapat menyesuaikan dan memberikan impak positif untuk skuad kebangsaan.

“Kita nampak Cools gembira bersama pasukan dan boleh diterima barisan pemain. Impak segera beliau adalah kita nampak melalui personaliti serta karakter beliau dalam padang, walaupun pertama kali turun berlatih bersama pasukan, beliau nampak boleh bergaul dengan semua pemain,” tambah Cheng Hoe.