Liga Super Malaysia Berita

PJ City mahu dapatkan khidmat Hazwan Bakri, tetapi tidak dilayan JDT

Pengurus pasukan PJ City, K Rajendran mengakui pihaknya telah menyatakan hasrat kepada JDT untuk mendapatkan khidmat Ahmad Hazwan Bakri.

Namun, hasrat itu tidak menerima sebarang maklum balas sehinggalah tempoh jendela perpindahan kedua Liga Malaysia, berakhir 31 Mei lalu.

“Usaha mendapatkan khidmat Hazwan tak dapat reaksi,” katanya kepada Berita Harian.

“Kita akur, jadi tiada pemain baharu yang dibawa masuk dalam pasukan pada perpindahan kedua ini.

“Kelab akan menggunakan sepenuhnya pemain sedia ada bagi meneruskan cabaran dalam saingan Liga Super.”

Hasrat PJ City mahu mendapatkan Hazwan adalah berikutan kekurangan pemain di bahagian serangan, dengan Darren Lok mengalami kecederaan sehingga Mahali Jasuli yang merupakan seorang pemain pertahanan terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai penyerang pasukan.

Bagaimanapun, Rajendran berkata PJ City tidak terlalu bimbang meskipun pasukan lain berjaya membawa masuk beberapa pemain baharu.

“Saya sudah melontarkan cabaran kepada pemain PJ City agar tidak lemah semangat sebaliknya terus berusaha dan yakin pada keupayaan diri sendiri.

“Walaupun lawan membawa masuk tenaga baharu, ia tidak harus dijadikan halangan buat pemain PJ City untuk mencapai impian.”