Malaysia Berita

Farizal Marlias: Kami belajar dari kesilapan

Penjaga gol negara, Mohd Farizal Marlias berjanji untuk belajar daripada kesilapannya dan mempamerkan aksi yang lebih baik sekiranya terus diberi peluang untuk beraksi menentang UAE esok.

Beliau yang berusia 34 tahun mengakui sedikit leka ketika kekalahan 0-2 kepada Bahrain.

“Sudah pasti sesiapa sahaja boleh buat kesilapan, tapi kita harus belajar daripada kesilapan itu,” katanya kepada Bernama.

“Saya percaya kepada rakan sepasukan saya, mereka juga bermotivasi tinggi dan keakraban kita dalam pasukan sangat baik, saya harap perkara positif ini dapat diterapkan di atas padang.

Pada perlawanan lalu, kawalan Farizal yang kurang kemas selepas menerima hantaran daripada pemain naturalisasi Liridon Krasniqi, menyaksikan Mohd Jassim Marhoon menyambar bola untuk menjaringkan gol kedua buat pasukan Timur Tengah itu.

Bagaimanapun, Farizal yakin pengalaman melawan Bahrain akan dapat digunakan sebaik mungkin ketika bertemu UAE nanti.

“Kita ada sesi video dan analisis perlawanan skuad lawan, saya juga percaya barisan pertahanan kita dapat menyesuaikan dengan rentak serangan UAE.

“Kita perlu berdisiplin dari segi pertahanan dan serangan untuk menyekat pemain-pemain ini.”