Malaysia Berita

Kem latihan pusat Harimau Malaya ceria, selepas lebih setahun tidak berjumpa

Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengakui sebarang insiden dalam saingan liga tidak sedikit pun menjejaskan hubungan antara pemain.

Sebaliknya, suasana kem latihan pusat skuad kebangsaan yang bermula semalam di Johor Bahru berada dalam keadaan harmoni dan ceria kerana sudah lama tidak berjumpa rakan sepasukan sejak November 2019.

“Memanglah ada sedikit ketegangan, tetapi selepas perlawanan itu kami semua bersama-sama untuk mewakili negara,” katanya kepada Bernama.

Cheng Hoe menyenaraikan 17 pemain kebangsaan yang bermain dalam dua perlawanan terakhir saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada November 2019 serta 11 lagi termasuk pemain naturalisasi terbaharu negara Guilherme de Paula.

Setakat ini terdapat 26 pemain menyertai kem itu dan akan disertai dua lagi pemain daripada pasukan Terengganu, sekali gus melengkapkan senarai 28 pemain.

Mohamadou Sumareh bagaimanapun mengalami kecederaan selepas membuat penampilan sulung bersama JDT ketika menentang Perak.

Justeru, beberapa pemain dalam senarai menunggu akan mengisi kekosongan sekiranya Sumareh tidak boleh menyertai kem tersebut.

Cheng Hoe juga tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang perlawanan persahabatan dengan mana-mana pasukan Liga Malaysia sebaliknya mahu menumpukan pada sesi latihan sahaja buat masa ini.

“Saya harap pemain tidak akan mengalami sebarang kecederaan selepas bermain dalam jadual liga yang padat. Saya cuma mahu mewujudkan persefahaman dalam kalangan pemain selain membolehkan mereka kembali mesra selepas lebih setahun tidak berjumpa,” katanya.