Liga Super Malaysia Berita

Annuar Musa dilantik sebagai presiden KL United

Tan Sri Annuar Musa telah dilantik sebagai presiden kepada Kuala Lumpur United FC berkuatkuasa serta-merta.

Manakala Khalid Samad akan terus berkhidmat sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Beliau yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menerima surat jemputan rasmi untuk menjadi penaung dan presiden kepada pasukan.

“Setelah menimbangkan jemputan dan rayuan mereka, saya bersetuju menerima tawaran tersebut dgn syarat tawaran itu mestilah atas kapasiti peribadi saya, dan bersifat sukarela tanpa memegang apa-apa kepentingan dan tidak menerima apa-apa ganjaran.

“Saya sekadar berkongsi pengelaman dan membantu memajukan pasukan KL United, serta memajukan sukan tersebut di Kuala Lumpur.

“Saya berharap pasukan KL United dapat turut menyumbangkan sesuatu kepada komuniti dan warga Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan.”

Ini kali pertama beliau kembali terlibat dalam bola sepak profesional selepas kali terakhir aktif sebagai penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada 2017.