Liga Super Malaysia Berita

Selepas bersara di usia 29 tahun, Faizal Abu Bakar tubuh akademi bola sepak

Tidak ramai yang mengetahui bahawa Mohd Faizal Abu Bakar sudah pun bersara dari karier profesional bola sepak di usia 29 tahun, tetapi itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berbakti dalam sukan yang disayanginya.

Beliau mengakui di hujung kariernya, agak sukar untuk mendapatkan kontrak dengan mana-mana pasukan kerana perlu bersaing dengan pemain muda.

“Saya sedar ketika usia yang semakin meningkat pasti sukar untuk kita mendapatkan tempat dalam mana-mana pasukan di Liga Malaysia,” katanya kepada Harian Metro.

“Setiap pasukan pasti memilih ramai pemain muda sebagai teraju utama dan ini akan menjadikan setiap pemain terpaksa bersaing sengit untuk mendapatkan tempat dalam pasukan.

“Memikirkan situasi itu, saya mengambil keputusan untuk menggantung ‘but’ sebagai pemain dan beralih arah menubuhkan akademi bola sepak sebagai suatu kesinambungan bagi memperkasakan bola sepak tempatan.”

Selepas kontrak dengan Negeri Sembilan berakhir pada 2019, Faizal membuat keputusan untuk bersara dan kembali ke negeri kelahirannya Kedah untuk menubuhkan Akademi Bola Sepak Faizal Abu Bakar (FAB) di Pokok Sena.

Luar biasanya, beliau hanya mengeluarkan modal sekitar RM30,000 bagi memulakan operasi akademi miliknya.

Sejak itu, akademi itu kini disertai 80 pelatih berusia bawah 9, 12 dan 15 tahun.

Selaku pemilik akademi, Faizal turut dibantu oleh rakan-rakannya antaranya bekas pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dan bekas penjaga gol JDT, Al-Hafiz Hamzah.

“Matlamat saya adalah untuk melahirkan pemain muda yang berbakat dan boleh mencapai tahap tertinggi dengan berpeluang beraksi dalam mana-mana pasukan tempatan di Liga Malaysia.

“Saya yakin dan percaya menerusi gabungan tenaga dan kepakaran daripada rakan-rakan yang pengalaman beraksi di Liga M ini, mampu merealisasikan matlamat yang ingin dicapai itu.”

Faizal berkata pihaknya juga bersedia untuk mengadakan kerjasama dengan akademi bola sepak tempatan lain bagi memantapkan kemampuan peserta pada masa akan datang.

“Buat masa ini aktiviti terhenti seketika dan akan diteruskan semula sebaik mendapat dibenarkan pihak berkuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).”