Liga Super Malaysia Berita

Melaka United ditaja RM2.5 juta, tapi bukan untuk bayar gaji pemain

Persatuan Bolasepak Melaka United menerima tajaan sebanyak RM2.5juta daripada Edra Power Holdings Sdn Bhd.

Tajaan itu adalah untuk projek pembangunan persatuan dan anak syarikatnya Kelab Bolasepak Melaka United FC (MUFC).

Bagaimanapun Setiausaha Agung Melaka United, Ahmad Roslee Hamzah berkata tajaan itu bukan untuk membayar gaji pemain atau pegawai malah tajaan itu bukan berbentuk tunai.

Sebaliknya ia akan digunakan untuk kemudahan infrastruktur persatuan dan pasukan Melaka termasuk menaik taraf padang latihan bagi program pembangunan bola sepak akar umbi.

Katanya, sebanyak RM600,000 hingga RM700,000 diperuntukkan bagi membina bangunan baharu untuk Melaka United yang terletak di sebelah pejabat persatuan di Komplek Sukan Paya Rumput.

“Ianya menempatkan bilik mesyuarat , ruang perbincangan, gimnasium khas pemain dan bilik pegawai eksekutif Melaka United FC,” katanya kepada Harian Metro.

“Pembinaan bakal dilakukan tidak lama lagi dengan beberapa prosedur penting diperhalusi sebelum ia diiklankan kelak.”

Justeru, Roslee berharap lebih banyak syarikat yang akan menaja Melaka United di masa akan datang.

Melaka akan bertemu Sabah di Stadium Hang Jebat dalam perlawanan pembukaan saingan Liga Super 2021, pada 6 Mac ini.