Liga Super Malaysia Berita

Ini luahan hati pemilik Flumen Holdings selepas Kedah batalkan rundingan

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Flumen Holdings, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman tampil meluahkan isi hatinya selepas Kedah FA bertindak membatalkan rundingan untuk mengambil alih pasukan negeri itu bagi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Beliau langsung tidak menyangka Kedah akan membatalkan rundingan, sedangkan ia sudah berjalan dengan lancar dalam tempoh beberapa minggu selepas proses pengambilalihan itu diumumkan.

“Sebelum ini kumpulan kami cuba memperjuangkan konsep “Fan Based Club” Koperasi Anak Kedah Berhad. Namun ia tidak kesampaian atas tanggapan koperasi masih baru dan tiada kewangan kukuh.

“Tanpa putus asa, saya dan rakan-rakan berusaha lagi, kali ini menggunakan platform syarikat persendirian iaitu Flumen Holdings dan Go Auto.

“Flumen Holdings adalah syarikat saya sepenuhnya yang sudah lama menjalankan perniagaan pelbagai cabang bisnes termasuklah menjadi pembekal peralatan ketenteraan. Manakala Go Auto adalah syarikat automatif yang juga mempunyai sejarah bisnes yang panjang.

“Alhamdulillah kali kali perbincangan dengan MBI dan KFA jauh lebih mudah memandangkan musim baru akan bermula dan masih tiada pelabur yang berminat. Saya difahamkan juga memang kerajaan negeri sudah tidak mampu lagi tanggung “belanja sakan” bolasepak. Ini semuanya duit rakyat.”

Shaizuan mendedahkan, kedua-dua buah syarikat itu telah membuat pembentangan kepada exco kerajaan negeri yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Sanusi Md Nor berhubung permohonan tanah.

“Beliau sendiri maklum tentang permohonan tanah bagi mendirikan kilang automotif di atas sebidang tanah milik PKNK berkeluasan 300 ekar di kawasan Sungai Petani sebagai sebahagian daripada pakej pengambilalihan Kedah FC di mana kombinasi bisnes bola dan bukan bola akan membolehkan bolasepak Kedah “survive” untuk jangka panjang. Inilah sebenarnya matlamat kenapa kami minta tanah.

“Semasa itu MB yang beria-ria menyokong permohonan ini diluluskan oleh Exco dan meminta kami drafkan kenyataan media pihak kami untuk diumumkan Menteri pada hari yang sama sebab mereka pun tahu lebih cepat projek ini berjalan, lebih baik untuk negeri dan rakyat. Lebih penting lagi, untuk survival bolasepak Kedah.”

Shaizuan menegaskan, pihaknya sentiasa terbuka untuk menunjukkan kemampuan kewangan dan kebolehan menjayakan projek itu bagi mendapatkan kepercayaan semua pihak.

“Ini menunjukkan semua pihak sedar betapa besar dan pentingnya projek ini kos kasarnya sahaja boleh menjangkau RM240 juta selama 10 tahun di mana impak pelaburan sebesar ini sudah tentulah boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, peluang perniagaan baru dan lebih penting memantapkan bolasepak Kedah.

“Sebab itu, semua pihak perlu berjiwa besar bagi memastikan penswastaan Kedah FC berjaya untuk jangka panjang. Bayangkan jika semua orang hanya ingin lihat untung jangka pendek adakah sesiapa yang sanggup buat kerja gila melabur dalam bolasepak di tengah-tengah Pandemik Covid 19?

“Di pihak kami, kami meneruskan projek ini kerana bersangka baik dengan kerajaan negeri khususnya YAB MB atas keyakinan kita semua memang mahu tengok bolasepak hijau kuning maju ke depan. Sayangnya apa yang dirancang ada pihak yang mensabotaj.”

Shaizuan mengakui pihaknya membuat permohonan tetapi bukan secara percuma, namun beliau tidak menyangka Sanusi menuduh pihaknya sebegitu rupa.

“Ya betul kami minta tanah tapi bukan percuma dan bukan murah-murah. Orang putih kata there is no free lunch. Dari awal, kami nyatakan kepada wakil MB kami bersedia bincang harga, lokasi dan cara bayar.

“Rundingan secara telus dan profesional dengan pihak MBI dan PKNK sejak Januari lagi dan segalanya berjalan lancar dengan restu Menteri Besar khususnya dengan kerjasama Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Datuk Armishah Siraj. Manakala bagi setiap urusan melibatkan bolasepak dan KFA, saya berhubung terus dengan Zulkifli Haron atas kapasitinya sebagai CEO KFA.

“Sehingga pengumuman semalam, tiada langsung teguran atau rungutan dari pihak PKNK atau exco pelaburan YB Datuk Wira Ku Rahman bahawa permohonan tanah ini tidak munasabah dan membalun tanah negeri kerana mereka sendiri faham bahawa ianya melibatkan pembayaran harga munasabah, membawa masuk pelaburan baru, mencipta ribuan peluang pekerjaan. Malahan, termasuk dalam rundingan, cadangan pembinaan stadium dan fasiliti sukan baharu yang sudah tentulah akan memanfaatkan negeri dan rakyat Kedah.

“Justeru, saya terkejut dengan kenyataan MB dalam sidang media semalam yang mengelirukan dan tidak memberi gambaran sebenar betapa telus rundingan ini dan tidak sesekali membelakangkan undang-undang. Kami mohon tanah untuk dibangunkan untuk rakyat Kedah bukan untuk tanam durian Musang King atau gali hasil nadir bumi (tanpa memotong pokok).”

Shaizuan turut membidas kenyataan Sanusi yang menuduh beliau mahu mengambil alih stadium secara percuma.

“Ini satu lagi kenyataan yang mengelirukan umum dan mencalarkan imej syarikat dan saya secara peribadi, kerana seolah-olah stadium pun kami nak balun. Sebenarnya antara permohonan kami juga adalah pihak MB mempertimbangkan untuk memberi konsesi hak menguruskan stadium di Suka Menanti yang kini menjadi padang latihan pasukan.

“Semua orang tahu fasiliti di situ tempat tersebut amat daif dan terbiar di mana walaupun terdapat fasiliti seperti asrama, dewan makan, ruang pejabat, penyelenggaraan ya amat mendukacitakan. Sedangkan sepatutnya stadium tersebut berpotensi untuk menjana pendapatan kepada kelab. Kos baik pulih keseluruhan tempat tersebut dianggarkan menelan lebih RM3.4 juta dan sudah masuk sebahagian dari perancangan kami untuk membaikpulih stadium tersebut sekiranya mendapat hak konsesi pengurusan.

“Tanpa penglibatan pihak swasta, kerajaan negerilah yang akan menanggung semua bil-bil nya dan sudah pun jelas kerajaan perlu mengutamakan kebajikan rakyat terlebih dahulu.

“Benarlah isu ini perlu dibincangkan bersama dengan Perbadanan Stadium Negeri yang menyelenggara dan mengurus tetapi bukankah Menteri Besar adalah pengerusinya?

“Kami bukan hendak ambil terus secara percuma, yang kami cadangkan adalah diuruskan oleh pihak syarikat dan keuntungan dikongsi bersama dengan Perbadanan Stadium. Malangnya kami tidak pasti sama ada cadangan ini telah dilihat secara teliti atau tidak tiba-tiba sahaja kami hanya tahu melalui sidang media semalam betapa “murkanya” MB dengan cadangan ini tanpa diberi peluang bersemuka menjelaskan cadangan kami ini.

“Kami mohon dikecualikan bayaran sewaan stadium yang begitu tinggi untuk tahun pertama sahaja supaya aliran tunai kelab positif sepanjang tahun pertama. Ini disebabkan jadual liga Malaysia amat menakutkan semua pemilik kelab. Jika cadangan ini tidak dipersetujui, kami bersedia untuk mempertimbangkan pilihan-pilihan lain. Malangnya sekali lagi sidang media Menteri Besar semalam dengan semberono menuduh kami meminta Stadium Darulaman.”

Shaizuan juga tidak berpuas hati dengan kenyataan Sanusi yang menuduh pihaknya enggan membayar gaji kakitangan pasukan dan para pemain dari Disember 2020 hingga Februari 2021, sedangkan perjanjian hanya bermula pada Mac 2021.

“Atas dasar apa saya patut bayar jika perjanjian belum dimuktamad dan saya telah beri komitmen untuk masuk secara rasmi pada Mac 2021 serentak dengan permulaan Liga Super 2021.

“Itupun saya telah beri komitmen untuk bayar semula segala perbelanjaan nanti dengan proses audit yang lebih jelas. Islam pun menuntut kita supaya membuat perjanjian bertulis bagi mengelak fitnah dan persengkataan? Lagipun adakah orang yang akan bayar berjuta-juta begitu saja tanpa ada hitam putih?” soalnya.

Justeru, Shaizuan menegaskan bahawa permohonan memajukan tanah dan hak menguruskan stadium hanyalah sebahagian dari pakej dan terma rundingan semata-mata supaya kelab bolasepak Kedah FC dapat menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada GLC negeri untuk jangka panjang.

“Jika pemintaan ini dianggap terlalu besar, saya ucapkan selamat berjaya kepada sesiapa saja selepas ini yang mengendalikan kelab bolasepak Kedah.”

Pada masa sama beliau terkilan dan kesal apabila surat rundingan oleh pihak syarikat dengan minit Menteri Besar yang sepatunya sulit telah ditular oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sudah tentulah kebocoran ini dari orang dalam sendiri yang tidak senang urusan ini dimuktamadkan. Perilaku membocorkan surat-surat urusan rasmi dengan minit Menteri Besar adalah sesuatu yang menyalahi undang-undang dan tidak boleh dikompromi. Ia memberi gambaran bahawa rundingan dengan pihak MB tiada lagi kerahsiaan dan boleh dibocorkan kepada umum. Ini boleh berlaku kepada sesiapa saja yang berurusan dengan pejabat MB.

“Buat penyokong Kedah, hanyalah jutaan kemaafan yang boleh saya pohonkan. Selagi nyawa dikandung badan darah Hijau Kuning akan terus mengalir dlm badan saya dan nawaitu saya hanya satu..ingin berbakti kepada negeri Kedah tercinta melalui revolusi bolasepak. Jika di masa depan ada lagi anak Kedah yang ingin mencuba nasib, mudah-mudahan dijauhkan daripada jembalang yang akan membunuh semangat dan jiwanya!”