Luar Negara Berita

Ini pandangan jurulatih Newcastle Jets mengenai Liridon dan Syahrian

Jurulatih Newcastle Jets, Joel Griffiths berkongsi pandangannya mengenai pemain baharunya, Liridon Krasniqi dan Syahrian Abimanyu.

Ini selepas dua pemain itu dipinjamkan dari juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim FC.

Liridon dianggap sebagai pemain yang sesuai dengan corak permainan Newcastle.

“Perwatakannya sangat sesuai dengan kelab kami,” kata Griffiths menerusi laman sesawang rasmi Newcastle Jets.

“Beliau berbahasa Inggeris dengan baik, ada aura tersendiri dan teruja untuk belajar mengenai budaya kami.

“Beliau sangat komited untuk meningkatkan lagi tahap permainannya.”

Apabila bercakap mengenai Syahrian, Griffiths percaya pemain berusia 21 tahun dari Indonesia itu mampu berebut tempat dalam skuad utama pasukan Newcastle.

“Abi mempunyai kemahiran yang sangat tinggi dan mampu mengatur hantaran yang baik.

“Beliau masih muda tetapi sangat berkemahiran, sesuatu yang diperlukan untuk seorang yang gemar mencipta serangan.

“Kita tidak boleh mengajar cara bermain bola sepak secara gerak hati tetapi tahap permainannnya amat menakjubkan.

“Beliau sangat tidak tamakkan bola. Mentaliti pasukan diutamakan memberikan saya keyakinan bahawa beliau akan dapat menembusi kesebelasan utama pasukan.”

Kedua-dua pemain sedang menjalani tempoh kuarantin di Sydney dan hanya boleh beraksi selepas jendela perpindahan dibuka pada 16 Februari.

Newcastle ketika ini berada di tangga tercorot dalam saingan A-League selepas mengutip 4 mata daripada 6 perlawanan, selepas tewas dalam 4 perlawanan, hanya menang sekali dan seri sekali.