Liga Super Malaysia Berita

FIFA arah Pahang bayar AS$1.2 juta kepada Sumareh

FIFA mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) membayar AS$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada bekas pemain mereka, Mohamadou Sumareh.

Ia jumlah terbesar yang dimenangi pemain di Liga Malaysia.

Menurut laporan NST, FIFA membuat keputusan demikian selepas mendapati AS$1.2 juta adalah jumlah kenaikan tahunan terkumpul yang tidak dibayar oleh Pahang sekali gus melanggar kontrak Sumareh untuk tahun 2020 dan 2021.

Malah mengikut kontrak, Sumareh sepatutnya menikmati kenaikan AS$5,000 (RM20,350) setahun selepas tahun kedua bersama Tok Gajah.

Bukan itu sahaja, Sumareh juga mendakwa beliau tidak mendapat gaji tepat pada masanya sejak menyertai Pahang pada 2017.

Disebabkan itu, pemain naturalisasi Malaysia pertama itu meninggalkan Pahang pada Ogos tahun lalu setelah mendakwa PBNP gagal membayar gajinya mengikut kontrak yang ditetapkan.

Selepas meninggalkan Pahang di tengah kontroversi, Sumareh menyertai kelab Thailand, Police Tero FC untuk jangka pendek tahun lalu sebelum kembali ke Malaysia.

NST juga melaporkan, Pahang boleh meminta FIFA mengemukakan alasan keputusan tersebut dan mereka mempunyai 10 hari dari tarikh keputusan itu.

Pahang juga boleh mencabar keputusan itu di Mahkamah Timbang Tara, tetapi jika tidak, mereka memiliki tempoh 45 hari untuk menyelesaikan jumlah yang harus dibayar.

Jika gagal berbuat demikian, Pahang berdepan larangan pendaftaran untuk jendela perpindahan berikutnya atau pengurangan mata liga.