Malaysia Berita

FAM mahu Kobe Jae Chong beraksi dengan Malaysia B-19

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya ada menghubungi pemain kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong.

Ini selepas pemain berusia 19 tahun itu mengakui dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Stuart mendedahkan, Kobe pernah dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad B-19 negara, namun tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana sedang terlibat dengan aksi liga di England.

“Sebelum ini sememangnya FAM ada berhubung dengan pemain berkenaan dan pernah memanggil Kobe menyertai sesi latihan bersama skuad kendalian Brad Maloney,” katanya kepada Harian Metro.

“Namun, Kobe menyatakan dia menghadapi beberapa masalah antaranya ketika itu sedang menyertai saingan liga bersama pasukan.

“FAM sentiasa memantau perkembangan pemain berkenaan dan kemungkinan akan memanggilnya pada masa akan datang berdasarkan prestasi semasa.”

Kobe ketika ini beraksi dengan kelab Sutton Colfied Town FC, kelab Divisyen Ke-7 dalam sistem bola sepak England selepas menyertai pasukan itu pada 5 Nov lalu.