Malaysia Berita

Teruja dan duka Kobe Jae Chong

Kobe Jae Chong teruja apabila beliau terpilih untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Ini selepas beliau dihubungi oleh FAM dan telah menyelesaikan segala urusan dokumentasi bagi melayakkan diri mewakili Malaysia.

Namun keterujaan pemain berusia 19 tahun itu yang berdarah campuran Malaysia-Jamaica bertukar sedih apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan beliau tidak boleh datang ke Malaysia malah kem latihan pusat terpaksa dibatalkan.

“Saya sepatutnya datang ke Malaysia dan mengikut perancangan mula menjalani latihan bersama skuad kebangsaan,” katanya kepada Harian Metro.

“Mereka (FAM) ada menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut dan setakat ini bersetuju mewakili negara di pentas antarabangsa.”

Nampaknya Kobe perlu menunggu lebih lama untuk mewakili negara setelah pertama kali dikenali ketika mewakili Cagliari Bawah 17 (B-17).

Namun beliau tidak patah semangat dan tetap mahu mewakili negara satu hari nanti.

“Saya mahu datang ke Malaysia dan melihat serta merasai sendiri suasana bola sepak di negara itu yang semakin berkembang.”