Liga Super Malaysia Berita

TFC sedia bertemu bekas rakan sepasukan, Faiz Nasir

Pemain sayap Selangor, Mohd Faiz Nasir bakal melayan kunjungan bekas rakan sepasukannya apabila Red Giants dijadualkan bertemu Terengganu FC (TFC) di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Selain daripada itu, Abdul Latiff Suhaimi yang juga bekas pemain TFC dijangka turun menentang bekas rakan sepasukkannya.

Bagi pertahanan tengah TFC, Nasrullah Hanif Johan bercakap kepada Arena Metro bahawa pertemuan ini bakal menjanjikan saingan sengit kedua-dua pasukan.

“Selepas ‘berpisah’ musim ini dengan dua rakan seperjuangan itu (Faiz dan Latiff), pertembungan skuad Penyu dengan skuad The Red Giants dilihat paling menarik dan dinantikan semua peminat bola sepak negeri.

“Kami juga saling mengetahui corak permainan masing-masing kerana sudah dua musim bersama sejak 2017 dalam saingan Liga Perdana sekali gus bakal menambah lagi ‘perisa’ dalam pertemuan ini.

“Bagaimanapun, bagi saya sebagai pemain pertahanan tidak sukar untuk mengawal dua pemain itu kerana saya sudah boleh baca corak permainan Faiz dan Latiff.

“Ini ditambah pula dengan pengalaman barisan jurulatih kami yang diketuai Irfan Bakti Abu Salim yang pasti sudah ‘masak’ dengan corak permainan kedua-dua pemain itu,” kata Nasrullah yang lebih mesra dipanggil Anas.

Nasrullah juga mengingatkan kepada rakan sepasukan agar berwaspada ancaman daripada penyerang Selangor, Rufino Segovia dan Amri Yahya.

“Kita mahu meneruskan momentum kemenangan untuk elak keciciran mata lagi jauh dengan pasukan kelompok teratas liga iaitu JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Pahang.

“Sebab itu kami perlu merantai semua pemain Selangor daripada bergerak bebas biarpun beraksi di laman mereka,” katanya kepada Arena Metro.