Malaysia Berita

KBS: MKN benarkan skuad kebangsaan jalani latihan pusat

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan kerajaan membenarkan skuad kebangsaan menjalani latihan pusat dalam masa terdekat.

Beliau berkata skuad kebangsaan akan menggunakan pendekatan gelembung sukan dengan menjalani latihan secara kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

“Kita berjaya mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana kita lakukan latihan berpusat secara kuarantin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Katanya, MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sesuai untuk melakukan persiapan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, Mac ini.

“Setelah berbincang dengan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya melihat bahawa mereka boleh menggunakan premis MSN sebagai pusat latihan mereka.

“MSN Bukit Jalil mempunyai fasiliti dan kemudahan serta mudah untuk dilakukan operasi berasaskan kepada model latihan secara kuarantin berbanding tempat lain.”

Pusat latihan MSN boleh menempatkan antara 30 hingga 40 orang termasuk barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain.

Sebelum ini, latihan pusat skuad kebangsaan yang dijadualkan bermula 16 Jan lepas terpaksa dibatalkan selepas Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan) dan Selangor tersenarai antara enam negeri diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Jan lalu.

Namun keputusan terbaru MKN membolehkan Tan Cheng Hoe melakukan persiapan sebelum bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi (26 Mac) dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 31 Mac ini.