Liga Super Malaysia Berita

Safee Sali, Hadin Azman sertai Kuala Lumpur United

Safee Sali dan Hadin Azman sah menyertai Kuala Lumpur United bagi saingan Liga Super musim 2021.

Ini bermakna, Safee kembali ke KL selepas 15 tahun berkelana, manakala Hadin walaupun lahir di KL, ini pertama kali beliau akan mewakili tempat kelahirannya.

Bernama melaporkan, Safee yang menandatangani kontrak selama setahun mengakui teruja untuk kembali beraksi bersama KL.

“Saya amat berbesar hati dapat kembali semula kepada pasukan di mana saya memulakan karier profesional pada 15 tahun yang lepas. Saya cukup bangga berada dalam stadium ini, banyak sejarah dan kenangan bersama pasukan ini.

“Selagi saya belum mengucapkan dan melafazkan kata persaraan, selagi itu saya ingin menabur bakti dan segala pengalaman untuk pasukan saya bermain.

“Apabila bermain dengan pasukan yang saya pernah bermain suatu ketika dulu, memang saya cukup teruja walaupun saya bakal berumur 37 tahun, saya masih merasakan seperti 17 tahun. Saya menyedari situasi perlu bersaing dengan penyerang asing tetapi itu tidak melenyapkan keazaman saya.

“Saya faham faktor umur dan segalanya diambil kira dalam usaha jurulatih melaksanakan perancangannya, jadi saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan serahkan kepada jurulatih untuk tentukan siapa yang diturunkan.”

Safee akan bersaing tempat dengan tiga lagi penyerang KL iaitu pemain import Francis Kone, Abdul Azim Rahim dan Fakhrul Aiman Sidid.

Hadin yang menandatangani kontrak selama dua tahun mengakui KL memberikan tawaran lebih baik berbanding beberapa pasukan lain.

“Kuala Lumpur adalah tempat kelahiran saya, saya sudah pergi ke utara (Kedah) dan selatan (JDT), Kuala Lumpur sahaja saya belum pernah, jadi ini satu kebanggaan akhirnya dapat berada dalam pasukan ini dan kita akan cuba yang terbaik mencabar saingan musim depan.

“Sasaran utama saya tahun depan ialah membantu KLUFC kekal dalam Liga Super dan saya akan berusaha mengembalikan prestasi terbaik untuk bantu pasukan pergi sejauh mungkin.”

CEO Interim KLUFC, Stanley Bernard berkata, Safee dan Hadin bakal menjadi aset besar buat KL baik dalam mahupun luar padang.

“Safee memiliki kehebatan dan nilai komersial yang tinggi. Dia akan menjadi aset Kuala Lumpur sama ada di dalam padang atau di luar. Dia antara penyerang terbaik dekad ini.

“Hadin pula mencapai kemuncak prestasi ketika bersama Felda United pada 2018. Kalau dia berjaya mengulangi prestasi tersebut, kita ada satu lagi aset penting untuk bersaing dalam Liga Super.”