Liga M3 Berita

AFL: 24 pasukan akan bersaing dalam Liga M3 musim 2021

Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL) Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan sebanyak 24 pasukan akan bersaing dalam Liga M3 bagi musim 2021, yang dijadualkan bermula Mac depan.

Ini selepas pihaknya membuat keputusan untuk melakukan penstrukturan semula yang menyaksikan gabungan pasukan dari Liga M3 dan Liga M4.

Format baharu divisyen ketiga itu dibuat selepas saingan Liga M3 musim 2020 dibatalkan ekoran Covid-19.

Malah, sebanyak 19 pasukan yang sepatutnya bertanding dalam Liga M3 pada musim 2020 telah menyatakan hasrat untuk kekal bertanding pada musim 2021.

“Untuk itu, slot tambahan juga akan dibuka kepada pasukan baharu menerusi kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Negeri (PBN),” katanya dalam kenyataan.

“Pengesahan pasukan yang akan bertanding dalam Liga M3 2021 hanya akan dibuat setelah kesemua dokumentasi disaring sepenuhnya.

“Proses saringan ini perlu bagi mengenal pasti pasukan-pasukan terbaik dan kompetitif sekali gus menjadi langkah persediaan bagi menyiapkan ke arah semi-pro.”

Antara kriteria dalam Garis Panduan Kelayakan Pasukan Liga yang perlu dipenuhi oleh pasukan baharu ialah pemilikan pasukan, butiran lengkap kewangan pasukan dan banyak lagi.

Bagi musim 2021, pasukan yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding ialah Armed Forces FC, Manjung City FC, Langkawi City FC dan NLFC-Mahsa.