MFL membuat keputusan untuk meminda tarikh perlawanan CIMB Liga Super antara Kedah dan Sabah.
Perlawanan itu sepatutnya diadakan pada 19 Sept di Stadium Darul Aman, namun stadium itu terletak dalam Daerah Kota Setar yang telah diisytihar untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Justeru, MFL memilih 21 Sept sebagai tarikh perlawanan baharu dan akan diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan daripada pasukan Kedah berhubung pindaan tarikh dan venue tersebut.
Malah, keputusan itu selaras dengan keputusan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan PKPD Daerah Kota Setar yang berkuatkuasa pada 11 September 2020 hingga 25 September 2020.
“Dimaklumkan bahawa MFL telah menerima permohonan rasmi dari pasukan Kedah mengenai permohonan pindaan tarikh dan venue bagi perlawanan tersebut kerana Stadium Darul Aman, Alor Setar terletak di dalam Daerah Kota Setar yang telah diisytihar untuk pelaksanaan PKPD (Pentadbiran).
“Oleh demikian, pihak MFL telah memutuskan untuk meminda tarikh dan venue bagi perlawanan tersebut di mana tarikh 19 September 2020 dan venue di Stadium Darul Aman, Alor Setar telah dipinda ke tarikh 21 September 2020 dan venue di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras selepas mendapat persetujuan bersama daripada kedua-dua pasukan.
“Pindaan perlawanan tersebut juga dipinda setelah mengambil kira segala aspek seperti penyiar rasmi, komersil MFL serta pihak media.
“Pindaan ini tidak melibatkan perlawanan-perlawanan lain seperti yang telah dijadualkan di mana jadual perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 telah dikemaskini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Ghani berterima kasih dengan pasukan Sabah yang bersetuju dengan pindaan tarikh dan venue tersebut.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan Sabah di atas semangat setiakawan dan memahami detik sukar yang dialami oleh pasukan Kedah.
“Inilah satu contoh yang cukup baik kepada Liga Malaysia dan saya berharap semua pasukan dapat bersatu dalam usaha membasmi pandemik COVID-19.”