Liga Super Malaysia Berita

MFL: Peraturan 5 tahun pemain naturalisasi tidak lagi diguna pakai

MFL membuat keputusan untuk meminda Perkara 3.4.9(ii) Peraturan Pertandingan yang termaktub dalam Manual Liga Malaysia berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat setelah meluluskan rayuan Pahang bagi mendaftarkan dua pemain naturalisasi, Lee Tuck and Sergio Aguero sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia.

“Pada 17 Ogos 2021, FAM telah membuat keputusan untuk menghentikan program naturalisasi.

“Bagaimanapun, ia tidak bermaksud pasukan Liga Malaysia tidak boleh membuat permohonan kepada kerajaan Malaysia untuk menaturalisasikan pemain masing-masing.

“Oleh yang demikian, setelah mengkaji rayuan Pahang mengenai perkara ini, MFL berpendapat bahawa implementasi peraturan pemain yang memperoleh kewarganegaraan di bawah Perkara 3.4.9(ii) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia, bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

“Maka, peraturan pemain yang memperoleh kewarganegaraan akan dipinda dan berkuatkuasa serta merta di mana implementasi peraturan tambahan lima tahun bagi pemain naturalisasi tidak lagi sesuai diguna pakai.

“Namun kelulusan mana-mana pemain naturalisasi akan dibuat berdasarkan Peraturan Kelayakan yang termaktub dalam Statut FIFA iaitu tinggal selama 5 tahun berturut-turut di negara tersebut sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan.”

Pahang telah mendaftarkan Lee Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan dalam tempoh pendaftaran kedua (28 Mei 2022 hingga 24 Jun 2022) namun pendaftaran tersebut belum diluluskan sebelum ini.

Berikut merupakan peraturan 3.4.9 (ii):

“Mana-mana pemain yang memperolehi kewarganegaraan Malaysia secara naturalisasi seperti yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Malaysia, dan ingin mendaftar sebagai pemain warganegara Malaysia hendaklah membuktikan perkara yang berikut:
a. Taraf kewarganegaraan pemain yang diterima adalah melebihi dari 5 tahun sebelum tarikh perlawanan pertama musim baharu Pertandingan Liga Malaysia;
b. Pemain tidak dibenarkan untuk menukar kewarganegaraan yang telah didaftarkan semasa musim Liga Malaysia sedang berjalan;
c. Mana-mana pemain yang tidak menepati syarat-syarat yang berkenaan seperti yang termaktub didalam perkara 3.4.9(i) dan (ii)(a), pemain yang terbabit tidak dibenarkan berdaftar dan bermain di dalam Liga Malaysia sebagai pemain tempatan (warganegara Malaysia).