Berita AFC Cup

KL City mara ke final inter zon Piala AFC 2022

Kuala Lumpur City mara ke final inter zon Piala AFC 2022 setelah menewaskan Mohun Bagan 3-1 di Kolkata.

Kemenangan itu amat manis dan bermakna buat City Boys yang berdepan dengan pelbagai rintangan semata-mata untuk beraksi di India.

Malah, kemenangan itu menyaksikan KL City kini merupakan empat pasukan terbaik dalam Piala AFC 2022.

Perlawanan seimbang di separuh masa pertama namun Mohun Bagan selaku tuan rumah lebih menguasai permainan.

Bagaimanapun, KL mengejutkan tuan rumah apabila tendangan jarak jauh Paulo Josue dari luar kotak penalti menewaskan Vishal Khaith pada minit ke-59.

Ketika perlawanan tinggal seminit sahaja lagi, Mohun Bagan meraih gol penyamaan menerusi Fardin Molla yang menyumbat masuk bola yang ditampan keluar oleh Azri Ghani.

Namun, memasuki dua minit masa tambahan, KL kembali di depan menerusi tandukan Fakhrul Aiman Sidid hasil sepakan percuma Paulo Josue.

Romel Morales melengkapkan kemenangan buat KL apabila berjaya merampas bola dari pemain pertahanan sebelum menjaringkan gol pada minit ke-94.

Perlawanan kekal 3-1 hingga tamat perlawanan, menyaksikan KL akan bertemu kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh pada 5 Oktober.