Liga Super Malaysia Berita

Tunggakan gaji pemain Melaka United kini cecah 3 bulan

Melaka United masih belum membayar tunggakan gaji pemain yang kini mencecah selama 3 bulan setakat ini.

Ini setelah 17 orang pemain Melaka membuat laporan kepada PFAM awal bulan lalu bahawa mereka masih belum menerima gaji bagi bulan Jun dan Julai serta baki bayaran bagi bulan Januari 2022.

“Sehingga semalam, jumlah tunggakan gaji telah mencecah 3 bulan kerana pemain turut tidak menerima pembayaran gaji bagi bulan Ogos,” kata PFAM dalam kenyataan.

“Pihak PFAM telah mengambil tindakan untuk menghantar notis kepada Melaka United bagi menjelaskan tunggakan berkenaan dan perkara ini telah dibawa ke peringkat FAM.

“Sehingga hari ini, pihak PFAM masih menunggu agar suatu tarikh ditetapkan oleh pihak FAM bagi membincangkan perkara ini di NDRC.”

PFAM juga menggesa agar penetapan tarikh perbicaraan di NDRC dipercepatkan agar proses pembelaan dapat dijalankan dengan segera.

“PFAM mengambil serius masalah tunggakan gaji yang dihadapi oleh para pemain dan akan membantu untuk membela hak pemain dari semasa ke semasa.

“Pihak kelab dinasihatkan agar sentiasa menghormati kewajipan yang telah dipersetujui di dalam kontrak agar dapat menjaga kepentingan kedua dua belah pihak.”