Kpah Sherman dan Fandi Ahmad dijangka memberi nafas baharu buat Pahang bagi musim 2023.
Ini kerana, pemain dari Liberia berusia 30 tahun itu cukup digeruni sebagai penyerang berbisa apabila pernah memenangi anugerah kasut emas ketika beraksi dengan PKNS pada 2019.
Prestasi cemerlang diteruskan ketika beraksi bersama Kipre Tcetche di Kedah pada 2020 dan 2021 dan Terengganu pada musim lalu.
Kini, beliau bergandingan dengan penyerang Brazil, Lucas Da Silva.
Kali terakhir Pahang memiliki penyerang berbisa adalah Matheus Alves dan Matias Conti.
“Sudah tentu rasa bagus apabila ada orang yang meletakkan harapan besar kepada kita dan saya harap saya dapat memberikan yang terbaik kepada Pahang dalam Liga Super,” kata Kpah.
“Saya ingin bekerja lebih keras dan melakukan sedaya upaya melebihi musim lepas, mana tahu mungkin dapat meraih anugerah lagi.
“Saya memang nak menjaringkan lebih banyak gol, tetapi misi utama adalah bagaimana saya dapat membantu pasukan ini untuk menjadi pesaing yang hebat.”
Malah, beliau akan beraksi di bawah kendalian legenda Singapura, Fandi Ahmad.
“Saya memang tahu bagaimana hebatnya jurulatih seperti Fandi dan beliau merupakan seorang yang sangat senang untuk bekerja.
“Beliau juga selalu menghubungi saya sebelum ini dan saya percaya kami semua mampu untuk melakukan sesuatu yang lebih cemerlang.
“Salah satunya adalah untuk cuba melayakkan diri ke Piala AFC dan kami semua teruja untuk memulakan saingan liga.”
Kali terakhir Pahang berprestasi cemerlang adalah pada 2018 apabila menjuarai Piala FA dan naib juara Liga Super 2019.
Pahang hanya meraih tempat ke-8 pada 2020, tempat ke-10 pada 2021 dan tempat ke-7 musim lalu.