Liga Super Malaysia Berita

Selangor: Nidzam Jamil ganti Michael Feichtenbeiner

Selangor membuat keputusan untuk melantik Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih sementara bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2022.

Ini selepas pihak pengurusan tertinggi pasukan itu mencapai persetujuan bersama Michael Feichtenbeiner untuk melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 20 November tahun lalu.

“Pencarian ketua jurulatih baharu sedang dijalankan dan pihak kelab akan membuat
pengumuman lanjut sebaik sahaja segala penelitian telah dibuat,” kata kenyataan rasmi Selangor.

Di bawah kendalian Feichtenbeiner, Selangor mencatatkan 4 kemenangan, 4 seri dan 5 kekalahan sekali gus meletakkan pasukan di tangga ke-8 dengan meraih 16 mata daripada 13 perlawanan setakat ini.

Malah, Selangor tersingkir daripada Piala FA apabila tewas kepada Terengganu di separuh akhir baru-baru ini.

Bagaimanapun, Feichtenbeiner akan terus bersama Selangor bagi meneruskan kepada projek pembangunan bola sepak Selangor sebagai Pengarah Sukan yang disandang beliau sejak 2020.

“Projek pembangunan bola sepak Selangor yang dimulakan Michael Feichtenbeiner sejak 2020 telah melahirkan ramai pemain muda yang mewakili pasukan utama Selangor dan pasukan kebangsaan Malaysia.

“Selangor juga merupakan antara pasukan termuda (mengikut purata umur) dalam saingan Liga Malaysia 2022 dan pihak kelab percaya bahawa projek pembangunan ini wajar diteruskan demi kesinambungan masa depan kelab ini.”

Sehingga kini seramai 19 pemain muda dari
Selangor 2 telah diserap ke Pasukan Utama seperti Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem, Hein Het Aung, Alex Agyarkwa, Quentin Cheng dan ramai lagi.

Pada tahun ini juga, seramai 10 pemain
muda Selangor telah dipilih mewakili Skuad B23 dan seramai 13 pemain muda lagi telah mewakili skuad B19 dalam pelbagai kejohanan peringkat ASEAN dan Asia.