Liga Super Malaysia Berita

Azraai Khor: Adakah pelan DNA bola sepak Malaysia perlu dimulakan semula?

Azraai Khor Abdullah mempersoalkan tindakan FAM yang tidak menyambung kontrak Peter De Roo selaku pengarah teknikal.

Beliau berpandangan, De Roo yang bertanggungjawab memperkenalkan DNA bola sepak Malaysia tahun lalu tidak sepatutnya dibiarkan pergi begitu sahaja.

“Apabila De Roo tidak menyambung kontraknya, ia secara tidak langsung akan merencatkan dan membantutkan agenda pembangunan bola sepak negara yang sudah dilancarkan FAM sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

“Apabila dia sudah tidak ada lagi, kita kena mulakan semula pemerkasaan program pembangunan bola sepak negara.

“Saya ada tunggu-tunggu juga sebelum ini, bila dia hendak implementasi formasi 4-3-3 yang berkaitan DNA bola sepak Malaysia.”

“FAM sebagai badan induk bola sepak negara perlu melakukan kajian lebih teliti lagi sebelum melantik pengarah teknikal baharu supaya perkara ini tidak lagi berulang pada masa akan datang.”

Pada masa sama, Azraai menganggap jika FAM berhasrat untuk melantik pengarah teknikal baharu dalam kalangan jurulatih tempatan, individu itu perlu membawa satu perubahan.

“Kita tidak mahu mereka terbawa-bawa dengan kejayaan silam kerana sukan ini sentiasa berubah.

“Sekiranya orang tempatan, kena pastikan calon itu adalah orang yang penuh dengan ilmu bola sepak di dada terutamanya bola sepak moden.

“Jika FAM mahu menawarkan tempat kepada legenda atau ‘otai’ bola sepak negara, pastikan mereka ini mengikuti perkembangan bola sepak moden.”