Liga Premier Malaysia Berita

Hanya tinggal empat perlawanan, Kelantan United tidak sabar untuk rehatkan jurulatih

Kelantan United membuat keputusan mengejut apabila merehatkan ketua jurulatih, Zahasmi Ismail walaupun saingan Liga Premier hanya berbaki empat perlawanan sahaja lagi.

Bukan itu sahaja, pihak pengurusan dalam mesyuarat khas yang diadakan di Kota Bharu semalam turut merehatkan dua pembantunya, Sazami Shafii dan Zahariman Ghazali sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Keputusan drastik ini terpaksa diambil setelah perbincangan menyeluruh dari pihak kelab kerana melihat situasi semasa pasukan yang memerlukan jurulatih bagi menghadapi baki empat perlawanan Liga Premier Malaysia dalam masa terdekat,” menurut satu kenyataan pasukan itu.

“Bagaimanapun, pihak kelab merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Zahasmi Ismail serta pembantunya atas khidmat mereka membantu Kelantan United FC sejak musim 2019 sehingga membawa kepada kejayaan muncul juara Liga M3 dan layak ke Liga Premier Malaysia musim ini.”

Setakat ini, Kelantan United mengesahkan telah mencari jurulatih baharu sementara.

Ini bermakna, Kelantan United akan berdepan Sarawak United di Kuching, Jumaat ini tanpa Zahasmi dan dua pembantunya.

Ia satu keputusan luar biasa, sedangkan MFL sudah pun mengumumkan bahawa Liga Premier tidak akan mempunyai penyingkiran pada musim ini, meskipun satu-satu pasukan itu berada di tangga tercorot liga.

Kelantan United kini berada di tangga ketujuh dengan mengumpul 9 mata, namun sejak liga bersambung semula pada 28 Ogos lalu, pasukan Pantai Timur dibawah kendalian Zahasmi itu mengalami kekalahan tiga kali berturut-turut.