Ong Kim Swee dilaporkan telah mendapat tawaran FAM untuk menggalas tugas sebagai pengarah teknikal.
Ini selepas Peter De Roo mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan FAM sebaik sahaja kontraknya tamat pada hujung tahun ini.
“Dengan hati yang berat, saya bertemu dengan presiden FAM dan memberitahu beliau bahawa saya tidak akan menyambung kontrak yang berakhir pada hujung tahun ini,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
“Amat pedih kerana saya sebenarnya belum bersedia untuk meninggalkan tugas ini kerana merasakan baru sahaja memulakannya.
“Tapi bertugas di FAM adalah satu pengalaman yang bermakna dan saya benar-benar gembira berada di sini.
“Saya juga seronok dapat bekerja dengan ramai individu-individu hebat dalam bolasepak Malaysia, terutamanya kakitangan di jabatan saya. Terima kasih di atas segala sokongan yang diberikan selama ini.”
De Roo mula bertugas sebagai pengarah teknikal bermula 1 September 2017 dan memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan termasuk menjawat jawatan sama di kelab Cambuur Leeuwarden dan pasukan kebangsaan Australia Bawah-16 tahun dan Bawah-17 tahun.
Dia juga pernah menjadi Pengarah Teknikal Pusat Kecemerlangan Persatuan Bola Sepak Australia dan Institut Sukan Australia (FFA).
De Roo juga memiliki lesen khas melatih pemain muda elit dari Persatuan Bola Sepak Belanda, lesen AFC Pro Diploma serta Lesen Bola Sepak Bersyarat dari Persatuan Bola Sepak Australia.
Dia pernah membawa pasukan Bawah-17 tahun Australia ke peringkat separuh akhir Kejohanan AFC Bawah-16 pada tahun 2014 di Thailand sekaligus melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA 2015 Bawah-17.
Menurut NST, Ong sudah pun menerima tawaran tersebut selepas dilaporkan mengadakan pertemuan dengan presiden FAM, Datuk Hamidin Amin dan setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam.
Ong ketika ini bertugas sebagai penolong pengarah teknikal FAM merangkap ketua pembangunan bolasepak akar umbi.