Liga Super Malaysia Berita

FAM: Tempoh lanjutan Kedah perlu dirujuk AFC terlebih dahulu

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan pihaknya perlu merujuk rayuan Kedah berhubung dokumentasi kewangan dengan AFC terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Ini selepas Kedah memohon FAM untuk melanjutkan tempoh lebih daripada tarikh akhir (15 Sept) bagi melengkapkan dokumentasi kewangan.

Stuart berkata, permohonan Kedah itu adalah berdasarkan situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Alor Setar, Kedah pada ketika ini.

“Ya, FAM ada menerima permohonan tempoh lanjutan berkaitan dokumentasi kewangan bagi melengkapkan proses pelesenan kelab daripada KFA yang sepatutnya diserahkan esok (hari ini),” katanya kepada Sinar Harian.

“FAM akan mendapatkan maklum balas pihak AFC dalam kes KFA ini. Situasi ini sesuatu yang praktikal dan FAM memahami situasi terkini yang berlaku di sana.”

Ditanya sama ada terdapat pasukan lain yang meminta untuk melanjutkan tempoh tersebut, Stuart berkata permintaan tersebut hanya datang dari Kedah.

“Pasukan yang masih berdepan kes tunggakan gaji tidak berdepan sebarang masalah dalam melengkapkan dokumentasi kewangan ini terutamanya Kelantan.

“Tapi kita tahu Kelantan sudah mempunyai pemilik baharu yang kini aktif dalam menyelesaikan tunggakan gaji melibatkan pasukan berkenaan.”

Stuart menjelaskan, jika mereka gagal mematuhi tarikh akhir yang ditetapkan, perkara itu akan diserahkan kepada badan bebas, First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM untuk tindakan selanjutnya.