Liga Super Malaysia Berita

Kasut Emas Khalid Jamlus dibeli Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan telah membeli anugerah Kasut Emas yang dimiliki bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus.

Ini selepas Khalid bertindak melelong Kasut Emas penjaring terbanyak Liga Malaysia itu pada harga RM99,999.

“DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membeli Kasut Emas milik bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” menurut Selangor Royal Office.

“DYMM Tuanku berkenan trofi Kasut Emas yang dimenangi Khalid Jamlus pada tahun 2002 itu diletakkan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di perkarangan Istana Alam Shah.”

Khalid menerusi akaun Facebook miliknya meluahkan rasa terharu apabila Sultan Selangor berminat untuk membeli Kasut Emas yang dimenanginya.

“Ampun Tuanku… walaupun perjuangan saya bersama Selangor tak begitu lama, tetapi Tuanku masih menghargai jasa saya bersama Selangor dan juga kebangsaan… cukup terharu.”

Khalid menyertai Selangor pada 2005 dan membantu pasukan itu memenangi Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.