Liga Super Malaysia Berita

Kedah mohon tempoh lanjutan untuk lengkapkan dokumentasi kewangan

Persatuan Bolasepak Kedah masih belum menghantar dokumentasi kewangan bagi melengkapkan proses pelesenan kelab walaupun sudah melepasi tarikh 31 Ogos.

Tempoh untuk melengkapkan dokumentasi kewangan adalah sehingga 15 Sept, namun Kedah meminta tempoh lanjutan.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Kedah FA, Sanusi Md Nor dan berkata FAM sudah bersetuju untuk memberikan tempoh lanjutan namun tarikh akhir yang baharu masih belum ditentukan.

“Urusan penyerahan dokumen kini dalam proses,” katanya kepada Berita Harian.

“Dokumen itu telah 98 peratus selesai, tinggal lagi perlu membuat bayaran penuh kepada tunggakan berkenaan.

“Kita diberi tempoh lanjutan sedikit, saya telah merayu kepada FAM untuk diberi tempoh lanjutan yang mana sepatutnya kita selesaikan perkara itu esok (15 Sept).

“Tempoh lanjutan itu FAM akan maklumkan dan diberi keizinan.

“Saya ucap terima kasih kepada FAM yang memahami situasi dan saya difahamkan bukan Kedah sahaja, tapi banyak lagi negeri lain tidak dapat melengkapkan dokumen itu.”

Apabila ditanya mengenai kelewatan melengkapkan dokumentasi kewangan, Sanusi berkata perkara itu disebabkan Kedah berdepan dengan tunggakan yang terlalu tinggi.

“Kami ada tunggakan yang banyak, ada tanggungan berkaitan LHDN yang belum dituntut secara rasmi, namun tanggungan kepada KWSP telah dituntut, dan kami telah susun jadual pembayaran berkenaan.

“Tanggungan melibatkan Perkeso pula telah dibayar dan tanggungan gaji pun sudah bayar separuh, cuma ada sedikit lagi dan kami sedang usaha untuk lunaskan semua itu.

“Ada juga negeri yang terhutang tapi tak sebanyak kita, ada negeri yang terhutang RM2 juta, RM3 juta, tapi kami berjumlah RM10 juta.”