Liga Super Malaysia Berita

Dituduh logo baru ciplak, ini jawapan presiden Melaka United

Presiden Melaka United, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengesahkan pihaknya kekal dengan pendirian akan menggunakan logo baharu yang telah diperkenalkan untuk musim 2021.

Ini selepas logo itu didapati serupa dengan logo sebuah syarikat dari Australia, Bare Blends, yang akhirnya mengundang kritikan pelbagai pihak.

Namun, Sulaiman berpendapat logo pokok Melaka masih belum dipatenkan oleh mana-mana pihak di negara ini.

“Pemilihan logo baharu Melaka United adalah berdasarkan lambang pokok Melaka yang dibuat sebagai simbol penyatuan peminat dan penyokong setia bola sepak Melaka, yang menjadi kekuatan pasukan selama ini.

“Oleh itu, Melaka United akan memohon untuk mendaftarkan hak cipta logo baharu itu dan hanya selepas ia diluluskan, barulah ia diguna pakai,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Melaka United memberitahu bahawa logo baharu itu direka oleh penyokong Melaka United Mohd Asri Ab Aziz, yang memenangi Pertandingan Mencipta Logo Melaka United.

Ia adalah sebagai salah satu inisiatif bagi proses penswastaan kelab dan pemisahan FA ke FC.