Liga Super Malaysia Berita

Dominique Da Sylva: Tidak kisah jaring berapa banyak, asalkan Terengganu menang

Dominique Da Sylva akui enggan terlalu memikirkan mengenai rekod gol peribadi, sebaliknya hanya mahu membantu Terengganu meraih tiga mata dalam setiap perlawanan.

Ini selepas penyerang berusia 31 tahun itu meledak dua jaringan ketika menewaskan PJ City 2-0 minggu lalu, sekaligus berjaya menjaringkan enam gol dalam empat perlawanan setakat ini.

“Saya pun tidak sangka dapat meraih enam gol setakat ini selepas empat perlawanan kerana saya hanya memberikan yang terbaik sahaja dalam padang.

“Tiada aksi kompetitif dalam tempoh lebih empat bulan sebenarnya bukan mudah dan kami satu pasukan memang bekerja keras untuk berada di tahap ini.

“Yang penting, kami kena teruskan latihan demi latihan dan fokus sebaiknya perlawanan akan datang yang pastinya lebih sukar.”

Terengganu ketika ini menduduki tangga ketiga dengan tujuh mata dan bakal berdepan Sabah, Sabtu ini.