Liga Premier Malaysia Berita

KAFA: Nik Akif Syahiran “not for sale”

Nampaknya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah memberikan amaran awal-awal bahawa mereka tidak akan melepaskan Nik Akif Syahiran Nik Mat, meskipun dengan harga RM1 juta.

Ini selepas terdapat laporan bahawa Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman menyatakan kesediaan untuk melepaskan pemain berusia 21 tahun itu dengan nilai RM1 juta sebagai salah satu cara untuk melangsaikan hutang KAFA yang dianggarkan bernilai RM4.6 juta.

Naib Presiden KAFA Ahmad Muzakkir Hamid menegaskan, sebarang keputusan mengenai status pemain perlu dibincangkan terlebih dahulu dan beliau mendedahkan tiada perancangan dibuat untuk melepaskan pemain berbakat itu setakat ini.

“Isu jual pemain tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif KAFA,” katanya menerusi akaunnya di Facebook.

“Segala keputusan mesti lalui mesyuarat ini yang akan mengambil keputusan bersama.”

Muzakkir juga menganggap kenyataan Husin bersifat peribadi dan tidak mencerminkan pendirian KAFA secara keseluruhan.

“Mungkin kenyataan Husin lebih kepada pendapat beliau dan juga memikirkan jika peluang pemain-pemain dilamar pasukan yang lebih baik dari kami, secara sepontan jawapan itu terkeluar bila ada pemberita bertanya beliau.”

Kelantan akan menyambung semula Liga Premier bertemu UKM FC pada Sabtu, 22 Ogos ini di Stadium Selayang.