Liga Super Malaysia Berita

Kedah FA hantar surat kepada Aliff Syukri

Presiden Kedah FA (KFA) Sanusi Md Nor mendedahkan pihaknya telah menghantar surat kepada pengasas D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, untuk berunding berhubung soal penajaan.

Ini selepas, ahli perniagaan itu dilaporkan berminat untuk menaja pasukan Kedah, menjelang proses penswastaan kelab yang akan berakhir pada 30 Sept ini.

“Kita telah menghantar surat kepada seorang jutawan dan hartawan untuk berunding dengan KFA,” kata Sanusi kepada Bernama.

“Kita juga telah berjumpa dengan ramai penaja-penaja yang berpotensi, ada yang positif, ada yang senyap.

“Kita telah hantar surat kepada Aliff Syukri, kita tidak mahu KFA ini jadi bahan promosi produk kecantikan, kalau mahu runding, mari runding serius, jangan jadi tajuk surat khabar sahaja.”

Sanusi juga berkata sekiranya Aliff Syukri benar-benar serius, ahli perniagaan tersebut boleh mengemukakan syaratnya kepada KFA.

“Jika beliau mahukan sesuatu yang boleh kita beri, insya-Allah kita usahakan, tetapi kalau yang diminta itu sesuatu yang tak boleh diberikan, kita berhenti setakat itu sahajalah.”