Liga Super Malaysia Berita

Adakah MFL perlu rombak jadual Liga Malaysia sekali lagi?

Perlukah MFL merombak jadual Liga Malaysia bagi musim 2020?

Pengelola Liga Super dan Liga Perdana itu mungkin memerlukan sedikit masa untuk melakukan demikian.

Ini selepas kerajaan membenarkan pasukan mengadakan latihan bersentuhan bermula 15 Julai dan Liga Malaysia dibenarkan bersambung pada 15 Ogos.

Ia sekali gus memberi peluang kepada semua pasukan untuk berlatih seperti biasa selama sebulan.

Ini bermakna mereka juga dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan dalam tempoh tersebut. Itu sebenarnya sudah cukup memadai sebelum saingan liga bermula.

Mengikut jadual yang telah pun dirombak MFL, Liga Malaysia dijadual berlangsung pada 1 September dan berakhir pada 27 September, manakala Piala Malaysia akan berlangsung pada 17 Oktober dan perlawanan akhir akan berlangsung pada 7 November.

Rombakan jadual MFL sebelum ini sebenarnya sudah cukup memadai namun rombakan sekali lagi mungkin tetap perlu dibuat selepas juara bertahan, JDT mendapat jadual baharu dalam saingan AFC Champions League musim 2020.

JDT yang beraksi dalam kumpulan G akan bertemu Guangzhou Evergrande pada 17 Oktober, diikuti dengan perlawanan menentang Suwon pada 23 Oktober, bertemu Vissel Kobe pada 29 Oktober dan Guangzhou sekali lagi pada 1 November.

Jadual ACL itu pastinya akan bertembung dengan jadual Piala Malaysia.

Ada yang berpendapat bahawa JDT mempunyai jumlah pemain yang mencukupi untuk mengharungi kedua-dua pertandingan tersebut, tetapi JDT kemungkinan tidak akan bersetuju dengan situasi yang langsung tidak memihak kepada mereka.

Untuk skuad kebangsaan, AFC menetapkan jadual baharu yang menyaksikan Malaysia akan berdepan UAE pada 8 Oktober, Vietnam pada 13 Oktober dan Thailand pada 17 Nov.

Tan Cheng Hoe mungkin akan memohon untuk mengadakan kem latihan pusat lebih awal, malah beliau sendiri seboleh-bolehnya mahu mengadakan satu perlawanan persahabatan.

Jika Liga Malaysia benar-benar disambung pada 15 Ogos, saingan liga akan berakhir pada 13 September, sama tempoh dengan jadual asal iaitu 1 Sept-27 Sept.

Bagaimana dengan Piala Malaysia? MFL hanya mempunyai tempoh antara 14 Sept sehingga 7 Oktober untuk mengadakannya.

JDT hanya akan memulakan saingan ACL pada 17 Oktober manakala skuad kebangsaan bertemu UAE pada 8 Oktober.

Memandangkan Piala Malaysia hanya melibatkan 16 pasukan, MFL boleh mengadakannya dalam tempoh tersebut, dan perlawanan akhir boleh diadakan lewat sedikit.

Jika jadual diubah, sekurang-kurangnya ia akan memberi peluang kepada Tan Cheng Hoe untuk mengadakan persiapan skuad kebangsaan dan persiapan JDT dalam saingan ACL dalam keadaan yang lebih teratur.

Jadi MFL ada dua pilihan, sama ada merombak jadual liga sekali lagi, atau kekal dengan jadual sebelum ini.