Malaysia Berita

Kerajaan Perak tekad bantu pemain berjasa, termasuk Khalid Jamlus

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui terkilan dengan nasib yang menimpa Khalid Jamlus, sekali gus memasang tekad untuk membantu semua pemain yang pernah berjasa dan mengharumkan nama negeri Perak.

Ini selepas Khalid bertindak melelong pelbagai barangan peribadi termasuk poster, jersi, pingat serta menjual kasut emas yang dimenanginya ketika Perak menang Liga Perdana 1 pada 2002 baru-baru ini.

Khalid mendedahkan lelongan itu dibuat atas faktor kewangan selepas tiga tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya berasa susah hati juga mendengar ada kalangan bekas pemain kita yang banyak berjasa kepada negeri terpaksa menjual barangan yang mempunyai ‘sentimental value’ kerana tekanan hidup,” kata Faizal kepada Berita Harian.

“Saya baru sahaja berbincang dengan beberapa rakannya untuk mencari jalan bagaimana boleh membantu beliau untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik tanpa perlu menjual kasut emas dan sebagainya.”

Faizal juga berharap pemain-pemain lain mencari jalan untuk menambah kemahiran serta sumber pendapatan dari bidang lain bagi mengelakkan daripada menghadapi situasi yang sama seperti Khalid.

“Saya kira tentu ramai lagi bekas pemain yang sebenarnya terkesan dengan keadaan hidup selepas COVID-19 ini, malahan sebelum ini juga ramai bekas pemain tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas berkecimpung dalam kerjaya sama hampir 20 tahun.

“Itulah sebabnya kerajaan memperkenalkan program upskilling, TVET dan sebagainya.

“Ini menjadi peringatan kepada semua pemain yang ada sekarang ini.”