Liga Super Malaysia Berita

Jika ACL2020 disambung September, Liga Malaysia perlu diadakan lebih awal

AFC berada dalam dilema untuk melaksanakan format baharu Liga Juara-juara Asia (ACL) susulan wabak COVID-19.

Setakat ini, badan bolasepak Asia itu menetapkan antara September dan November sebagai tempoh untuk menyambung semula kejohanan itu.

Bagaimanapun, jadual ACL kemungkinan akan bertembung dengan perancangan JDT yang perlu bersaing dalam Liga Super dan Piala Malaysia, melainkan kerajaan membenarkan Liga Malaysia bersambung lebih awal iaitu pada bulan Ogos.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John berkata pihaknya tidak mempunyai pilihan selain daripada mengadakan dalam tempoh tersebut.

“Perlu diingatkan di sini bahawa AFC terpaksa menghabiskan ACL sebelum bermulanya Piala Dunia Kelab,” katanya kepada Astro Awani.

“Kami perlu mencari juara, jadi Disember depan tidak boleh diadakan tetapi liga domestik boleh dijalankan sehingga 31 Disember depan.”

Windsor juga menjelaskan saingan ACL boleh diadakan atas dua faktor iaitu dengan melantik negara sebagai tuan rumah untuk setiap kumpulan yang tidak mempunyai sekatan tinggi terhadap COVID-19 dan infrastruktur kesihatan negara tersebut.

“Kami perlu mencari tuan rumah yang dapat memberikan sedikit kebebasan tetapi perlu diingat, segala aspek kesihatan perlu diambil kira.

“Yang kedua, ia melibatkan infrastruktur kesihatan negara tuan rumah itu sendiri.

“Mereka mesti mempunyai satu infrastruktur seperti hospital yang terbaik dan juga mempunyai satu protokol untuk merawat ataupun memberikan sokongan kesihatan kepada pasukan-pasukan dan sebagainya.”