Liga Super Malaysia Berita

Curran Ferns, Narupon mahu tinggalkan Melaka United

Melaka United nampaknya masih menghadapi krisis kewangan dan masalah tunggakan gaji sehingga dua pemainnya dilaporkan mahu meninggalkan pasukan itu.

Harian Metro mendedahkan bahawa Curran Singh Ferns dan seorang import Thailand, Narupon Wild Putsorn yang baru sahaja menyertai Melaka musim ini mahu menamatkan kontrak selepas tidak menerima gaji seperti yang dijanjikan.

Laporan itu menjelaskan bagaimana masalah gaji masih gagal ditangani dengan baik meskipun berlaku perubahan pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Melaka ekoran peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Malah, Naib Presiden Persatuan Melaka, Mohd Ashiq Abd Samad sendiri mengesahkan perkara tersebut namun menegaskan pihaknya masih dalam perbincangan bersama dua pemain tersebut.

“Saya akui sememangnya Melaka menghadapi masalah pembayaran gaji menyebabkan dua pemain terbabit mahu tarik diri daripada bermain dengan skuad Hang Tuah.

“Namun, segalanya masih lagi dalam perbincangan dan mengharapkan mereka boleh terus beraksi bersama Melaka apabila liga bersambung nanti.”

Sebelum ini, FAM sudah memberikan kelonggaran sebanyak dua kali kepada Melaka United untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji selewat-lewatnya pada bulan Ogos ini, sekaligus terlepas daripada sebarang pemotongan mata.