Luar Negara Berita

FAM: Kalonda hantar sijil kelahiran, sijil kahwin ibu bapa

Marcel Kalonda sudah menghantar beberapa dokumen terbaru kepada FAM dan beliau hanya menunggu surat pengesahan daripada Persatuan Bolasepak DR Congo.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya sedang meneliti dokumen-dokumen yang dihantar oleh Kalonda iaitu sijil kelahiran, sijil perkahwinan ibu bapa dan pasport milik pemain berusia 22 tahun itu.

“Kita sudah menerima beberapa dokumen baru,” katanya kepada Astro Arena.

“Sekarang dalam proses untuk mengesahkan kalau betul atau tidak.

“Tapi kita perlu beberapa hari lagi untuk meneliti dokumentasi ini dan kita perlu penjelasan lebih terperinci dari kedutaan atau pihak tertentu.”

Kalonda sebelum ini mendakwa beliau mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia menerusi datuk dan bapanya.

Pemain itu kini beraksi dengan juara bertahan Liga Zambia, ZESCO United di Zambia.

Stuart juga memberi jaminan bahawa FAM tidak akan terburu-buru untuk membuat keputusan mengenai Kalonda.

“Terlalu awal untuk buat keputusan, saya juga bertanggungjawab dari segi proses naturalisasi dan pihak jawatankuasa akan terus buat pemantauan terhadap pemain tersebut.”