Malaysia Berita

FAS: Selangor tiada masalah lepaskan Luqman Hakim Shamsudin

Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan Selangor tidak mempunyai sebarang masalah untuk melepaskan Luqman Hakim Shamsudin yang akan menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk tidak lama lagi.

Beliau berkata, meskipun pemain berusia 18 tahun itu menandatangani kontrak bersama Selangor dua bulan lepas, Luqman akan dilepaskan tanpa syarat.

“Kita tidak akan menghalang Luqman mengembangkan bakatnya ke luar negara. Kita memang tiada masalah melepaskan Luqman pergi menimba pengalaman di sana,” katanya kepada BH Sukan.

Namun Shahril berkata, perbincangan mengenai kontrak Luqman tetap perlu dilakukan bagi menjamin masa depan pemain itu.

“Luqman pun tahu mengenai terma dan klausa yang termaktub dalam perjanjian itu. Apa yang boleh saya katakan, ia untuk menjaga kepentingan Luqman dan demi kebaikan bersama.

“Ini sebab dia umpama pelaburan buat kita dan dia juga aset kepada bola sepak negara. Dia masih muda dan perjalanannya masih jauh, jadi kita perlulah melindungi perjalanan kariernya.

“Beberapa terma inilah yang perlu dipersetujui semua pihak dalam perbincangan ini. Kita memang bersetuju, jadi kita mengharapkan KV Kortrijk pun dapat memahaminya. Apapun setakat ini, kita boleh melepaskannya tanpa sebarang bayaran.”

Luqman dalam proses untuk mendapatkan permohonan keluar negara memandangkan kerajaan sudah membenarkan penerbangan antarabangsa atas kes-kes khas dan perlu mendapatkan persetujuan Jabatan Imigresen.